Khamis, 16 November 2017 | 2:38pm

SL1M bantu 58,354 graduan dapat kerja

KUALA LUMPUR: Seramai 139,398 graduan dibantu secara langsung dan tidak langsung dalam memperkasakan kebolehpasaran diri melalui program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di pelbagai syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri SK Devamany, berkata setakat 31 Oktober lalu, seramai 58,354 graduan mendapat pekerjaan dengan memperoleh latihan berstruktur daripada pelbagai syarikat yang menyertai SL1M.

"Seramai 81,044 graduan dibantu melalui penganjuran karnival kerjaya SL1M atau program 'search and assist' di seluruh negara," katanya menjawab soalan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, program SL1M merangkumi latihan kemahiran insaniah maksimum dua bulan dan disusuli dengan latihan tempat kerja maksimum 10 bulan oleh pihak syarikat.

"Latihan bertujuan meningkatkan tahap kecekapan dan kecekapan graduan, di samping kemahiran teknikal mengikut acuan dan keperluan syarikat.

"Lebih 90 peratus daripada peserta SL1M berjaya mendapat pekerjaan tetap sama ada diserap oleh syarikat yang melatih atau menerima tawaran syarikat lain semasa atau selepas menjalani latihan SL1M," katanya.

194 dibaca
Berita Harian X