Khamis, 16 November 2017 | 4:14pm
PROF Dr Karen Symms Gallagher, Dekan Fakulti Pendidikan Rossier USC.

PBS sedia peluang pembelajaran sama rata

DOHA: Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Malaysia bukan saja mampu menghasilkan pelajar yang holistik, tetapi juga dapat memberi peluang sama rata kepada semua tahap pelajar termasuk pelajar lemah.

Kajian yang dilakukan oleh University of South California (USC) menerusi Inisiatif Rossier mendapati program seperti PBS yang merangkumi Pelan Pembelajaran Individual (ILP) dapat membantu guru mengenal pasti kelebihan dan kekurangan setiap pelajar, sekali gus menyediakan pelan pembelajaran bersesuaian untuk setiap individu.

Dekan Fakulti Pendidikan Rossier USC, Prof Dr Karen Symms Gallagher, berkata berdasarkan kajian itu pihaknya yakin pelaksanaan program seperti PBS dapat menyelesaikan masalah bagi sekolah yang mempunyai jumlah pelajar ramai seperti di Malaysia.

"Meskipun jumlah pelajar yang ideal dalam sesebuah kelas ialah 20 orang, pelaksanaan program sebegitu dapat membantu guru memberi tumpuan kepada setiap pelajar termasuk dalam kelas yang mengandungi lebih 30 atau 40 pelajar dengan tahap pendidikan berbeza.

"Pihak kami mengenal pasti lima faktor bagi memastikan program ini berjaya iaitu kehadiran pelajar, pemikiran kritikal, standard tinggi pentaksiran, pembelajaran kendiri dan pakar dalam subjek tertentu," katanya ketika ditemui BH pada Sidang Kemuncak Inovasi Dunia bagi Pendidikan (WISE), di Pusat Konvensyen Qatar, hari ini.

Persidangan dua hari bertemakan 'Co-exist, Co-create' itu membabitkan perbincangan dalam pelbagai aspek pendidikan oleh tokoh akademik dan juga agensi berkaitan dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, kata Dr Gallagher, kejayaan program itu juga bergantung kepada kesediaan semua pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan pendidikan untuk berubah.

"Selain pendidik terlatih dan pengurusan sekolah berwibawa, tambahan tenaga kerja (pembantu guru) yang bertindak seperti kaunselor penting dalam memantau perkembangan sekelompok pelajar untuk tiga atau empat tahun dan mampu menyediakan pelan pembelajaran.

"Pembabitan ibu bapa juga amat penting khususnya dalam memastikan anak-anak kekal berada dalam sistem pendidikan, meskipun mereka tidak berpelajaran untuk membantu dari segi pembelajaran anak mereka," katanya.

INFO:

Inisiatif Rossier USC:

- Berdasarkan kajian dijalankan bagi meningkatkan mutu pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar yang keciciran akibat kemiskinan atau keluarga bermasalah

- USC kemudian membangunkan projek komuniti berfokus kepada kaedah pengajaran dan pemudahcaraan, dan berjaya menubuhkan sekolah menengah hibrid di selatan California bagi membantu pelajar miskin

- Sekolah ditempatkan di bangunan pejabat, sekali gus membuka mata pelajar terhadap kerjaya masa depan

- Kini terdapat lima sekolah seumpama itu di bawah pemantauan USC

130 dibaca
Berita Harian X