Sabtu, 18 November 2017 | 8:01pm
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Asyraf Afif Ramli (kanan) dan Malvindran A/L Ravie (kiri) bersama anugerah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu ke 15 di Dewan Sultan Mizan. - Foto Rozainah Zakaria

Tebus kegagalan sehingga jadi penuntut cemerlang

KUALA NERUS: Kegagalan mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi azimat kepada Muhammad Asyraf Afif Ramli untuk menjadi penuntut cemerlang di universiti.

Keazamannya itu membuahkan hasil apabila Muhammad Asyraf hari ini dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT)) Ke-15, di atas kecemerlangannya memperoleh Anugerah Dekan bagi semua lapan semester.

Penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling itu sebak dengan kejayaan diraihnya, sekali gus gembira dapat membanggakan kedua ibu bapanya dan membuktikan dia juga mampu cemerlang dalam akademik seperti adik beradiknya yang lain.

"Dahulunya saya seorang yang tiada keyakinan diri. Malah, keputusan SPM juga tidak membanggakan sehingga saya tidak mendapat tawaran daripada mana-mana universiti awam.

"Namun, peluang melanjutkan pengajian ke UMT saya gunakan sepenuhnya untuk menebus kekecewaan lalu dan Alhamdulillah segala usaha keras saya berbaloi apabila dipilih menerima anugerah kecemerlangan tertinggi ini," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UMT Ke-15 di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin, UMT di sini, hari ini.

Canselor UMT yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen berkenaan. Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga gemar mengikuti program sukarelawan sehingga dianugerahkan sebagai Tokoh Siswa 2016 dalam kategori Pemimpin Sukarelawan (Terbuka) di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah penuntut Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim, R Malvindran, 24.

Malvindran berkata, kejayaan itu diharap dapat membolehkannya membantu mengubah kehidupan keluarganya selepas bekerja kelak.

"Ayah saya bekerja sebagai pemandu van sekolah dan ibu hanya suri rumah. Setiap kali cuti semester saya akan bekerja sebagai guru tuisyen bagi membantu keluarga.

"Saya harap kejayaan ini akan dapat membantu keluarga dan ayah saya tidak perlu bekerja lagi selepas ini," katanya.

Malvindran turut aktif dalam bidang kokurikulum, dan tesis yang dihasilkan beliau dipilih untuk dibahaskan serta diterbitkan ketika menyertai Persidangan Pendidikan Antarabangsa di Hong Kong, Mei lalu.

Seramai 2,717 graduan diraikan pada istiadat konvokesyen kali ini yang berlangsung hari ini hingga Isnin ini.


Sembilan sekawan menerima ijazah Sarjana pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu ke 15 di Dewan Sultan Mizan. - Foto Rozainah Zakaria

Berita Harian X