Isnin, 20 November 2017 | 4:09pm
AHMAD Nawawi Mohd Amin (tengah) menunjukkan Anugerah Pelajaran Diraja yang diterima kepada ibu bapanya, Mas Aidah Muknadi, (kanan) dan Mohd Amin Zakaria, (kiri) ketika Majlis Konvokensyen ke 13 UTeM, Durian Tunggal.- Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Konvokesyen UTeM: Anak buruh terima anugerah diraja

MELAKA: Kesusahan bapa bekerja sebagai buruh membakar semangat Ahmad Nawawi Mohd Amin, 26, belajar dengan gigih sehingga menerima Anugerah Pelajar Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-13, hari ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron serta Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif itu ketika ditemui, berkata kepayahan hidup keluarga menyedarkannya untuk terus belajar bersungguh-sungguh sehingga cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.56.

Bapanya, Mohd Amin Zakaria, 54, bekerja sebagai buruh kasar bagi menyara mereka lima beradik, manakala ibu, Mas Aida Muknadi, 50, suri rumah.

"Saya juga menjadikan solat sunat dan berpuasa setiap Isnin dan Khamis untuk membentuk disiplin diri. Tiada rahsia atau petua lain untuk berjaya, hanya yakin kita mampu melakukannya.

"Paling penting keikhlasan dalam melakukan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan. Saya berazam untuk ubah nasib keluarga dan hanya ada satu cara iaitu belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Graduan dari Kajang, Selangor ini yang bercita-cita menjadi pensyarah adalah antara 3,126 graduan yang menerima diploma dan ijazah masing-masing pada majlis yang berlangsung dua hari membabitkan empat sesi itu.

Pada majlis sama, graduan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, Amyrul Azuan Mohd Bahar, 26, menerima ijazah doktor falsafah (PhD) selepas tiga tahun mengikuti pengajian, termasuk Ijazah Sarjana.

Terdahulu, Mohd Khalil dalam ucapannya berkata, UTeM menjadi pilihan utama dalam memenuhi tuntutan pihak industri masa kini.

"Dalam memenuhi permintaan itu, pihak universiti berusaha memacu bidang pengajaran dan pembelajaran sejajar cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 dengan fokus kepada perancangan semula corak pembelajaran abad ke-21.

"Sewajarnya Revolusi Perindustrian 4.0 menjadi batu loncatan untuk peningkatan diri dan kerjaya graduan," katanya.

Berita Harian X