Rabu, 22 November 2017 | 12:40pm
AMIN menunjukkan buku laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ketika sidang media di Putrajaya, semalam. - Foto Mohd Fadli Hamzah

UPSR hanya satu daripada 4 komponen PPSR

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya satu daripada empat komponen dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang akan diumumkan, esok.

Tiga lagi komponen ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Menjelaskan pembaharuan itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata penilaian murid mulai tahun ini tidak lagi memfokuskan kecemerlangan akademik sahaja, tetapi turut melihat pencapaian mereka secara holistik sebagai seorang insan.

"Setiap murid memiliki keunikan tersendiri dan tidak semata-mata jumlah A diperoleh dalam peperiksaan.

"Selain pencapaian akademik, yang lebih penting adalah pembangunan karektor murid," katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Bantu guru sedia pelan pembelajaran

Menerusi PBD, pentaksiran dibuat ketika pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan merujuk kepada dokumen standard Kurikulum dan Pentaksiran (DKSP) untuk melihat tahap penguasaan pembelajaran murid.

Pentaksiran ini dibuat bagi membantu guru untuk menyediakan pelan pembelajaran bagi setiap murid menggunakan pelbagai jenis instrumen.

PAJSK pula akan mentaksir murid melalui penilaian SEGAK, iaitu Standard Kecergasan Fizikal bagi mengukur tahap kecergasan, Indeks Jisim Badan (BMI) bagi merekod tinggi dan berat badan sebagai satu indikator kesihatan, selain mengambil kira penyertaan/pencapaian sukan pada pelbagai peringkat.

Murid juga ditaksir dalam kokurikulum dan ekstra kokurikulum iaitu penyertaan dan pencapaian dalam persatuan, unit beruniform serta pembabitan secara sukarela pada semua peringkat.

PPsi lihat

kecenderungan murid

PPsi pula untuk melihat kecenderungan murid dalam bidang yang diminati seperti bidang muzikal, lingustik, logik matematik dan visual ruang.

PPsi untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) dibuat menerusi Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR), iaitu mengukur pencapaian murid melalui pendekatan pentaksiran bersepadu dalam situasi sebenar keperluan murid.

Amin berkata, murid UPSR akan menerima empat slip PPSR yang mengandungi maklumat pencapaian dalam semua komponen berkenaan.

Beliau berharap perubahan itu dapat mengembalikan PdPc yang menyeronokkan bagi membolehkan guru mengajar tanpa tekanan.

"Menerusi pendekatan ini, tiada lagi perbandingan mengikut negeri dan daerah. Gred Purata Sekolah (GPS) dan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) yang dilihat menjadi bebanan kepada guru juga dihapuskan," katanya.

Mengenai kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Amin berkata, permohonan secara dalam talian sudah ditutup dan murid yang ingin memohon sekarang perlu menjalani satu lagi ujian khas.

6634 dibaca
Berita Harian X