Jumaat, 24 November 2017 | 6:25pm
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom (SHAKS) Kuantan, mewakil pasukan Dex`rac membawa cabaran negara pada pertandingan Formula One In School World Finals di Singapura tahun hadapan. Foto Mohd Rafi Mamat.

Dex'rac terus unggul wakili negara

[email protected]

Kuantan: Pasukan Dex`rac daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom (SHAK), di sini, membawa cabaran negara untuk tahun keempat pada pertandingan akhir Formula One In School World.

Pasukan berkenaan layak mewakili negara di Singapura pada September 2018, selepas menjuarai pertandingan peringkat Zon Timur, Jun lalu dan kebangsaan di Negeri Sembilan, dua minggu lalu.

Kali pertama pasukan itu menyertai pertandingan akhir Formula One In School di peringkat antarabangsa pada tahun 2013, diikuti 2016, 2017 dan tahun hadapan.

Guru penasihat pasukan, Hasfasuriazal Hasman berkata, setiap tahun hanya tiga sekolah sahaja layak mewakili negara untuk bertanding di peringkat antarabangsa selepas berjaya mencatat keputusan terbaik pada saingan peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, pencapai terbaik SHAKS di peringkat antarabangsa pada tahun 2016 apabila merangkul anugerah pasukan terbaik Asia di Amerika Syarikat.

"Pasukan kami turut mencatatkan kepantasan 1.03 saat yang juga rekod kebangsaan dengan berat kereta 50 gram. Selain itu, kriteria lain seperti reka bentuk kereta, jumlah penaja dan pencapaian juga menjadi faktor kejayaan dalam pertandingan berkenaan.

"Pasukan Dex`rac diwakili empat pelajar tingkat empat iaitu Ainul Jannah Hasim, Nur Sabrina Riduan, Nur Alia Natasha Amizi dan Ahmad Faris Zikri, mereka kali pertama mewakili SHAKS pertandingan terbabit. Persiapan kami bagi menghadapi pertandingan berkenaan berjalan lancar dan ianya akan dilakukan bermula sesi persekolahan baharu pada tahun hadapan.

"Minat dan semangat berpasukan yang ada menjadi kelebihan kepada kita muncul juara peringkat zon timur dan kebangsaan, saya berharap pencapaian itu dapat dilakukan di pentas antarabangsa tahun hadapan" katanya pada Majlis Penghargaan Khas Kecemerlangan Pasukan Formula One In School SHAKS yang disempurnakan Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua SHAKS Mahazir Hanapiah.

Hasfasuriazal berkata, kerjasama guru dan Pengetua serta sokongan daripada kerajaan negeri, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Pahang turut melancarkan lagi misi memburu kejayaan setiap kali bersaing dipentas antarabangsa.

"Saya berharap kejayaan akan berpihak kepada pasukan Dex`rac pada pertandingan akhir Formula One In School World di Singapura tahun hadapan terutama apabila kita berjaya melakukan kepantasan 1.03 saat yang kini menjadi rekod kebangsaan," katanya.

Berita Harian X