Sabtu, 25 November 2017 | 2:47pm
ANTARA 153 pelajar sekolah kawasan Kapar dan Kuala Selangor bersama Timbalan Menteri Pendidikan Malalysia, Datuk Chong Sin Woon (lima dari kanan) pada pelancaran Program Bantuan Pelajar Eco World. - Foto Rohanis Shukri

Yayasan Eco World bantu murid

KUALA LUMPUR: Seramai 153 murid daripada tujuh sekolah di Selangor menerima bantuan menerusi Program Bantuan Pelajar Yayasan Eco World.

Tujuh sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, SK Bukit Kapar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ijok, SJKC Chung Wah, SJKC Ying Wah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bestari Jaya dan SJKT Methodist.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon menyampaikan sumbangan murid terbabit.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Eco World, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Philip Methews.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata hingga kini 2,753 pelajar daripada 134 sekolah menerima manfaat menerusi program berkenaan yang dimulakan sejak 2014.

TIMBALAN Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Chong Sin Woon (tiga dari kanan) bersama pelajar SJKC Chung Wah, Adil Fitri (tiga dari kiri), Mohammad Danish Iqram dan So Wei Wen merupakan antara 153 pelajar penerima Program Bantuan Pelajar Eco World kawasan Kapar dan Kuala Selangor. Turut sama Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (kiri) dan Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Rohanis Shukri

Menerusi yayasan itu, katanya, beliau yakin dapat memenuhi tanggungjawab sosial korporat membantu mengubah kehidupan menerusi pendidikan.

"Satu aktiviti yang dijalankan yayasan ialah membantu rakyat Malaysia yang kurang mampu untuk meningkatkan kualiti kehidupan.

"Fokus utama kami ialah mempromosi pendidikan sebagai kunci utama untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya dalam kenyataan di sini.

Lam Thye berkata, dengan peruntukan RM5 juta setahun, program terbabit membantu menyediakan keperluan sekolah seperti baju sekolah dan bayaran yuran serta tuisyen.

"Kami harap ini dapat mengurangkan beban ibu bapa," katanya.

Selain bantuan asas pendidikan, Yayasan Eco World turut menganjurkan kem motivasi, sesi dialog pelajar dan juga seminar kerjaya.

Murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) juga berpeluang untuk memohon bantuan pendidikan untuk sekolah menengah sehingga peringkat pengajian tinggi.

Berita Harian X