Rabu, 6 Disember 2017 | 4:27pm
KAMARUZZAMAN Abdul Razak. - Foto Hafiz Sohaimi

Kursus i-THINK: Guru lega

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memberi kelonggaran kepada guru dan pentadbir sekolah untuk menamatkan Kursus i-THINK Luar Talian (KiLT) pada bila-bila masa, mengikut keupayaan masing-masing.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, kementerian itu mengambil berat berhubung keresahan guru dalam melaksanakan kursus i-THINK ketika ini.

Pada masa sama, Kementerian Pendidikan akan menambahbaik pelaksanaan kursus berkenaan dengan mengurangkan bilangan modul yang perlu dikuti oleh guru.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak, berkata penangguhan itu dapat mengurangkan tekanan dihadapi guru kerana pelaksanaan kursus itu sepatutnya disiapkan selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Beliau berkata, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi melancarkan pelaksanaan kursus berkenaan seperti penganjuran bengkel secara bersemuka yang diyakini lebih berkesan berbanding kaedah dalam talian dan luar talian.

"NUTP sudah memaklumkan kepada kementerian mengenai keresahan guru dalam melaksanakan kursus i-THINK ini, berikutan faktor seperti gangguan capaian talian Internet yang rendah," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penangguhan itu mempamerkan keprihatinan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memahami tugasan dipikul guru, lebih-lebih pada waktu cuti sekolah.

Kamarozaman berkata, pihaknya berharap isu capaian dan kelajuan Internet dapat diatasi dengan berkesan untuk memastikan kelancaran kursus berkenaan, di samping mengelakkan tekanan dihadapi guru.

"Sekiranya masalah pelayan ini dapat dibaik pulih, saya yakin guru dapat melunaskan tanggung jawab diamanahkan ini dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang tekanan serta membolehkan mereka lebih mesra dengan modul i-THINK itu," katanya.

Berita Harian X