Selasa, 12 Disember 2017 | 12:33am
TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr. Zainal Aalam Hassan (kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Sulaiman Wak (tengah) dan Ketua Eksekutif PADU, Khadijah Abdullah (kanan) menunjukan Iklan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 pada Majlis Prebiu Iklan Pawagam Pelan Pembangunan Malaysia 2013 -2025 di TGV One Utama. - Foto Mohd Yusni Ariffin
TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr. Zainal Aalam Hassan (kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Sulaiman Wak (tengah) dan Ketua Eksekutif PADU, Khadijah Abdullah (kanan) menunjukan Iklan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 pada Majlis Prebiu Iklan Pawagam Pelan Pembangunan Malaysia 2013 -2025 di TGV One Utama. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Bengkel pembangunan nilai di semua sekolah

PETALING JAYA: Program Inisiatif Pembangunan Nilai dan Sahsiah terutama untuk menggalakkan lagi kemenjadian murid secara menyeluruh akan dilaksanakan di semua sekolah, mulai awal tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Sulaiman Wak, berkata inisiatif menerusi penganjuran bengkel itu bertujuan memperkasa program sedia ada yang sudah dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.

Beliau berkata, walaupun pendedahan mengenai aspek nilai sudah diberi penekanan dalam subjek seperti Pendidikan Islam dan Moral, adalah penting bagi pelajar mengamalkan setiap nilai murni dipelajari, sekali gus dapat mengukur tahap keberkesanannya kelak.

"Program ini akan disertai semua pihak berkaitan, termasuk guru, ibu bapa dan komuniti setempat kerana ini adalah untuk kepentingan bersama.

"Kami juga akan menggunakan pendekatan 'town hall' bagi mendapatkan pandangan dan maklumat.

"Bagi saya nilai ini adalah antara ciri kemenjadian murid. Kita bukan sekadar mahu melihat berapa A yang diperoleh dalam peperiksaan, tetapi bagaimana mereka ini dapat menjadi insan holistik seperti yang kita harapkan," katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Prebiu Iklan Pawagam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di pusat beli-belah 1 Utama, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr Zainal Aalam Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), Khadijah Abdullah.

Selain itu, Pengarah Eksekutif Struktur Sistem Kementerian Pendidikan, Dr Noorliza Zakuan serta Pengarah Eksekutif Pengurusan Program PADU, Radzifuddin Nordin.

Sementara itu, Zainal Aalam berkata, program yang masih dalam peringkat perbincangan itu bertepatan pada masanya terutama dalam menangani gejala negatif pelajar seperti masalah disiplin dan buli.

"Elemen ini memang diterapkan dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah. Pelaksanaan ini bukan sebab kita berdepan masalah, sebaliknya kita hendak memperhebatkan lagi pendekatan murni ini supaya menjadi amalan semua pelajar," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X