Selasa, 12 Disember 2017 | 4:59pm

Keputusan pelaporan PT3 boleh didapati Khamis ini

KUALA LUMPUR: Calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2017 boleh mendapatkan keputusan pelaporan sekolah menengah di sekolah masing-masing, Khamis ini.

Bagaimanapun, tiada pengumuman secara berpusat akan dilakukan seperti tahun sebelumnya, selepas pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan pada tahun 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Seramai 425,251 calon menduduki peperiksaan itu di seluruh negara pada Oktober lalu.

Pelajar dinilai berdasarkan empat jenis penilaian merangkumi keputusan keseluruhan, penghuraian keputusan mata pelajaran, laporan pentadbiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta laporan psikometrik berkaitan minat dan kecenderungan seseorang.

Sementara itu, mana-mana pelajar yang layak boleh memohon memasuki ke Tingkatan Empat di sekolah terpilih, termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.

Difahamkan, tujuh SBP di seluruh negara menawarkan 945 tempat untuk kemasukan pelajar Tingkatan Empat tahun depan.

SBP berkenaan ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah dan SM Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur; SM Sains Tuanku Munawir dan SM Sains Perempuan Seremban, Negeri Sembilan; Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor; SM Sains Muar, Johor dan SM Sains Kuala Terengganu, Terengganu.

Permohonan kemasukan Tingkatan Empat secara dalam talian ke SBP boleh dibuat menerusi pautan sst4.moe.gov.my dengan tarikh tutup permohonan pada 24 Disember ini.

Sementara itu, 34 MRSM pula menawarkan sebanyak 2,000 tempat untuk kemasukan Tingkatan Empat dengan syarat minimum memperoleh keputusan 6A, 4B bagi pelajar di Semenanjung, dan 5A, 5B untuk Sabah dan Sarawak.

Berita Harian X