Selasa, 12 Disember 2017 | 6:41pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan (tengah) melihat pelan pembinaan Prasekolah di Majlis Pelancaran Pembinaan Projek Prasekolah di SJKT Bandar Springhill, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

7 kelas prasekolah di SJKT NS

PORT DICKSON: Tujuh kelas prasekolah akan dibina di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini, bertujuan menambah jumlah murid di sekolah itu.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan, berkata dua kelas akan dibina masing-masing di SJKT Bandar Springhill, SJKT Jalan Lobak dan SJKT Rantau, manakala SJKT Chembong satu kelas.

Katanya, kos pembinaan prasekolah itu adalah sebanyak RM1.4 juta atau RM200,000 untuk setiap satu kelas.

"Ini adalah sebahagian daripada bajet yang diluluskan untuk pembinaan sebanyak 50 kelas prasekolah SJKT di seluruh negara seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2017," katanya.

TIMBALAN Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan melakukan 'gimik' pecah tanah di Majlis Pelancaran Projek Prasekolah di SJKT Bandar Springhill, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Projek Prasekolah di SJKT Bandar Springhill, di sini, hari ini.

Kamalanathan berkata, ketika ini, terdapat sebanyak 33 kelas prasekolah dalam pembinaan di seluruh negara dan kementerian memantau untuk memastikan ia disiapkan mengikut jadual.

Katanya, daripada jumlah itu, 25 sekolah adalah sekolah bantuan modal, manakala lapan adalah sekolah kerajaan.

"Dari segi reka bentuk pula ia diselaraskan supaya semua sekolah mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan," katanya.

Berita Harian X