Selasa, 26 Disember 2017 | 6:36pm
PENGERUSI Kelab Putera 1 Malaysia (KPIM), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (tengah tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah Pada Program Happy To School di Dewan Cenderawasih, Pendang di sini hari ini. - Foto Nur Syazwana Mansor.
PENGERUSI Kelab Putera 1 Malaysia (KPIM), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (tengah baju putih) bersama penerima sumbangan kelengkapan sekolah pada program Happy To School di Dewan Cenderawasih, Pendang. - Foto Nur Syazwana Mansor.

Sumbangan persekolahan legakan ibu bapa

PENDANG: Kelengkapan sekolah yang agak mahal pada masa ini, membebankan ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak ramai.

Justeru, bantuan persekolahan yang diberi pelbagai pihak amat dinantikan ibu bapa yang kurang berkemampuan setiap kali menjelang sesi baharu persekolahan.

Nor Madhiah Bakar, 50, dari Kampung Pokok Tai Lama, di sini, berkata bantuan persekolahan yangditerima anaknya banyak membantu meringankan bebanan mereka sekeluarga.

"Setiap seorang perlu belanja sekurang-kurangnya RM100 untuk cukupkan semua kelengkapan, jika anak ramai, ia akan lebih membebankan," katanya yang ditemui di Dewan Cenderawasih Majlis Daerah Pendang, di sini.

Anak Nor Masdhiah adalah antara 1,000 pelajar yang terpilih di daerah ini, menerima bantuan persekolahan menerusi program Happy To Schoo,l anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KPIM) serta Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO Malaysia.

Seorang lagi ibu penerima juga dari Kampung Pokok Tai Lama, Ismaliza Ismail, 39, berkata beliau bersyukur kerana terpilih menerima bantuan terbabit.

Ibu kepada tiga orang anak berusia lima tahun hingga 16 tahun itu berkata, meskipun hanya seorang anak sahaja yang terpilih menerima bantuan, ia tetap melegakan kerana dapat mengurangkan sedikit bebanan keluarga.

"Kami berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ia banyak memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KPIM, yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata Pendang adalah daerah ke-43 daripada 75 Parlimen di seluruh Malaysia yang menerima bantuan kelengkapan persekolahan.

"Semua murid Tahun Satu hingga Tahun Enam yang terpilih terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan, tanpa mengira faktor agama, keturunan, bangsa dan juga fahaman politik," katanya.

Abdul Azeez berkata, agihan bermula sejak 15 November lalu sehingga 7 Januari 2018, membabitkan 75 Parlimen di seluruh negara.

Berita Harian X