Rabu, 3 Januari 2018 | 9:20pm
PROSES penuaian hasil penternakan udang yang memanfaatkan inovasi 'Rapid Biofloc'.
PINGAT emas yang dimenangi pada SIIF 2017.
INOKULUM yang membantu mempercepatkan pembentukan biofloc di dalam kolam udang.
KUMPULAN penyelidik UMT yang membangunkan inovasi 'Rapid Biofloc', iaitu Dr Nor Azman (empat dari kiri), Prof Najiah (dua dari kanan), Prof Mhd Ikhwanuddin (kiri) dan Dr Sharifah Noor Emilia (tiga dari kiri) bersama rakan industri.

Rapid Biofloc bantu penternakan udang

KUALA LUMPUR: Serangan penyakit Early Mortality Syndrome (EMS) yang menyebabkan kematian anak udang pada peringkat awal penternakan sehingga merugikan pengusaha, mencetuskan idea sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk membangunkan inovasi dinamakan 'Rapid Biofloc'.

Inovasi itu dibangunkan oleh empat penyelidik Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) UMT, iaitu Dr Nor Azman Kasan, Prof Dr Najiah Musa, Prof Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah dan Dr Sharifah Noor Emilia Syed Jamil Fadaak.

Dr Nor Azman yang mengetuai kumpulan penyelidik itu berkata, inovasi berkenaan adalah teknologi hijau bagi pengurusan udang dalam industri akuakultur, termasuk mengelakkan kematian awal udang, mempercepatkan proses kelahiran udang dewasa dan meningkatkan hasilnya.

Tambah organisma

"Teknologi biofloc ini didefinisikan sebagai bahan organik hidup terdiri daripada pelbagai mikroorganisma akuatik seperti bakteria, alga, fungi, protozoa dan organisma lain yang terapung bersama detritus.

"Biofloc boleh terbentuk sendiri secara konvensional tanpa gabungan mikroorganisma akuatik tetapi tempohnya lama, iaitu kira-kira 30 hari. Penggunaan teknologi baharu ini membolehkan biofloc dibentuk seawal lima hari.


DR Nor Azman memasukkan inokulum ke dalam kolam ternakan udang.

"Melalui inovasi ini, kami menambahkan sejenis organisma dikenali sebagai inokulum pada hari pertama stok anak udang dilepaskan bagi mempercepatkan pembentukan biofloc di dalam kolam udang," katanya ketika dihubungi.

Menyentuh soal cabaran, Dr Nor Azman berkata, sepanjang lima tahun membangunkan inovasi itu, kumpulan penyelidik berkenaan 'bersengkang mata', termasuk mengkaji faktor yang mungkin menjadi punca kegagalan dan permasalahan dialami pengusaha.

Kawal kualiti air

Mereka turut melakukan percubaan di lapangan untuk melihat keberkesanan inovasi, malah menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri ternakan udang putih di Malaysia, iaitu Hannan Corporation Sdn Bhd.

Beliau berkata, inovasi itu sudah dipatenkan pada September lalu dan akan dikomersialkan dengan kerjasama Malaysia Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd.

"Pembangunan inovasi ini bukan sahaja membantu membasmi masalah penyakit EMS dan meningkatkan hasil pengeluaran udang putih tetapi juga membuktikan kewujudan biofloc dalam sistem ternakan kolam dapat mengawal kualiti air pada tahap selamat.

"Teknologi ini juga sejajar objektif mengiktiraf dan menggalakkan pemindahan ilmu melalui pertukaran idea kreatif hasil penyelidikan, pengalaman serta kemahiran antara universiti awam, organisasi penyelidikan, industri, agensi kerajaan dan masyarakat secara meluas," katanya.


DR Nor Azman bersama inovasi yang dihasilkan.

INFO
Inovasi 'Rapid Biofloc':

  • Mula dibangunkan pada April 2012.
  • Memenangi pingat emas pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2017 di Korea Selatan.
  • Memenangi pingat emas pada Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2012.
Berita Harian X