Rabu, 17 Januari 2018 | 4:56pm
AHMAD Farozi (dua dari kanan) di tapak cadangan pembinaan surau baharu pada majlis perasmian pecah tanah - Foto ihsan SK Selayang Utama.

Kutip dana bina surau sekolah

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Selayang Utama memerlukan sumbangan dana bagi pembinaan sebuah surau baharu.

 

Yang Dipertua PIBG, Ahmad Farozi Alias, berkata surau baharu seluas 3,600 kaki persegi, itu mampu memuatkan kira-kira 300 jemaah dalam satu masa.

 

Beliau berkata, sejak sekolah itu beroperasi 25 tahun lalu, sebuah kelas diubah suai menjadi surau dan program keagamaan sekolah.

 

"Surau sedia ada terlalu kecil, hanya mampu memuatkan kira-kira 40 orang murid saja. Ia menyukarkan pelajar dan pihak sekolah untuk melaksanakan aktiviti keagamaan berskala besar.

 

"Program seperti bacaan yasin perdana, majlis solat hajat serta sambutan Maulidur Rasul terpaksa dilakukan di dewan sekolah atau di masjid berhampiran," katanya kepada BH, ketika dihubungi hari ini.

POSTER reka bentuk surau yang bakal dibina bagi kegunaan warga SK Selayang Utama.

Inisiatif kutipan dana berkenaan dilancarkan sejak dua tahun lalu dengan jumlah terkumpul sebanyak RM35,000, iaitu hanya 10 peratus dari jumlah RM350,000 yang diperlukan.

 

Ahmad Farozi berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpulkan dana secepat mungkin supaya pembinaan surau itu dapat disegerakan.

 

"Bilangan murid sudah mencecah 700 orang dan jumlah itu bakal meningkat untuk tahun depan. Kita perlukan surau yang lebih besar untuk menampung jumlah murid," katanya.

 

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank PIBG SK Selayang Utama, 512558125592 atau menghubungi pihak sekolah di talian 03 61364020 untuk maklumat lanjut.

Berita Harian X