Khamis, 18 Januari 2018 | 5:08pm
PELAJAR terbaik lelaki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) negeri, Luqman Hakim Syahbudin (tengah) dikucup oleh ibu, Hamsidah Abu Hassan (kiri) dan bapanya, Syahbudin Senin (kanan) pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SIA, SMA, STAM di Masjid Al-Azim, Bukit Palah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Luqman nyaris berhenti sekolah

MELAKA: Membatalkan hasrat untuk menamatkan pengajian dan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada April lalu, ternyata membawa seribu hikmah buat Luqman Hakim Syahbudin, 19, apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu yang diumumkan hari ini.

Bekas pelajar dari Sekolah Menengah Agama, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al Asyraf, Pulau Sebang itu memperoleh lapan Mumtaz dan dua Jayid Jiddan, sekali gus dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik STAM 2017 peringkat negeri bagi kategori lelaki.

Sementara itu, Siti Khadijah Abu Bashar, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syarifah Rodziah pula diangkat sebagai pelajar terbaik bagi kategori perempuan apabila memperoleh sembilan Mumtaz dan satu Jayid Jiddan.

Luqman berkata, dia pernah bercadang untuk berhenti daripada meneruskan persekolahannya apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM).

Namun, memikirkan pembiayaan ke pusat pengajian tinggi tanpa tajaan biasiswa dilihat boleh membebankan diri dan keluarganya, membuatkannya dia melupakan hasrat itu.

"Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, saya tahu tanggungan ibu dan bapa untuk saya dan adik-adik yang lain memerlukan perbelanjaan agak besar. Oleh itu, saya melupakan niat itu walaupun menerima tawaran.

"Alhamdulillah, usaha saya tidak sia-sia, selain mendapatkan petunjuk dengan melakukan Solat Istikharah yang membawa kepada kejayaan pada hari ini.

"Selepas ini saya akan menyambung pengajian sama ada ke UM atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)," katanya.

Dia ditemui selepas pengumuman keputusan Peperiksaan Syahadah Ibtida'iah Arabiah (SIA), Sijil Menengah Agama (SMA) dan STAM 2017 di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini.

Seramai 985 pelajar menduduki peperiksaan SIA, SMA dan STAM 2017 dan daripada jumlah itu, 461 pelajar menduduki SIA.

Yang turut hadir, Pengarah JAIM, Md Azhan Samat dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Rashid Mohd Sidek.

Seorang lagi pelajar cemerlang dari sekolah sama, Siti Nur Umirah Mohamad Ghazali, 17, berkata dia mengambil langkah tidak mempedulikan kritikan orang di sekeliling dan berfikiran positif serta rajin bangun untuk menunaikan solat sunat tahajjud hampir setiap malam.

"Saya juga membiasakan rutin solat sunat tahajjud diikuti membaca al-Quran, sebelum mengulangkaji pelajaran pada setiap pagi sebelum Subuh,"katanya.

Berita Harian X