Sabtu, 24 Februari 2018 | 3:10pm
BENGKEL Akhbar Dalam Darjah (ADD) di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
BENGKEL Akhbar Dalam Darjah (ADD) di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
BENGKEL Akhbar Dalam Darjah (ADD) di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Konsep ADD selari pembelajaran abad 21

IPOH: Warga pendidik perlu kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) bagi memudahkan kefahaman, sekali gus dapat menarik perhatian pelajar.

Penolong Pegawai Pendidikan Sains dan Matematik, Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara, Juma'ayah Ibrahim, berkata konsep akhbar dalam darjah (ADD) adalah cara terbaik untuk mengadakan PdPc dengan kaedah yang lebih berkesan, selain menggalakkan interaksi dua hala di dalam kelas.

"Penggunaan akhbar sebagai bahan bantu mengajar (BBM) memberi kelebihan kepada guru dan dapat meningkatkan kemahiran PdPc tenaga pengajar dalam melahirkan generasi pelajar yang holistik.

"Konsep ADD yang digunakan ini juga adalah selari dengan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) yang akan memberi impak positif kepada guru, pelajar dan seterusnya kepada institusi pendidikan negara," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel ADD BH-NST 2018, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara Bahagian Bahasa, Zuhira Ghazali; Pengurus Kanan Jabatan Jualan Akhbar dan Pengedaran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Zattul Iffah Mohd Zaidi; Pengarang Pendidikan Kandungan Bahasa Melayu, Jabatan Pendidikan (EV) NSTP, Ridzuan Yop dan Pengarang Pendidikan Kandungan Bahasa Inggeris EV NSTP, Hazlina Aziz.

Seramai 350 guru sekitar daerah Kinta, Perak hadir mengikuti bengkel anjuran NSTP yang dikendalikan empat guru cemerlang bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sementara itu, Guru Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Teja Gopeng, Nor Azira Abd Halim, berkata penceramah banyak memberi maklumat dan kaedah pengajaran mudah yang boleh dimanfaatkan oleh guru di dalam kelas.

"Dengan adanya konsep ADD ini, ia lebih menjimatkan masa dan duit berbanding membeli buku rujukan.

"Soalan dalam sisipan pendidikan Skor BH juga amat menepati kehendak soalan terkini, selain boleh digunakan secara kreatif dengan pelajar," katanya.

Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) Ladang Chemor, Uthayachandran, berkata bengkel tahun ini banyak memberi panduan terkini dan mudah untuk diaplikasikan bersama murid.

"Penceramah memberi maklumat secara terperinci bagi setiap topik dan ini amat membantu guru seperti saya untuk mendapat pendedahan mengenai teknik mengajar dengan lebih mudah.

"Saya sudah menggunakan konsep ADD ini sejak lima tahun lalu dan ia amat memudahkan saya selain topik yang disediakan dalam sisipan Didik BH berbeza pada setiap minggu," katanya.

Berita Harian X