Ahad, 25 Februari 2018 | 9:25am
KETUA Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Raja Azura Raja Mahayuddin menyerahkan Anugerah Pelajar Terbaik kepada Fawwas pada majlis graduasi The Rising Star Award 2018, baru-baru ini.
PENERIMA faedah Peneraju Profesional, Wan Nor Mafudah Wan Yusof. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
YAYASAN Peneraju Pendidikan Bumiputera sentiasa menghargai penerima faedah yang berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam pendidikan.
PENERIMA faedah Peneraju Skil (dalam bidang Open Water Scuba Instructor), Muhammad Fajrul Omar Muhamad Ridzuan.

Yayasan Peneraju lahir 20,000 bakat Bumiputera cemerlang

SETELAH genap 6 tahun beroperasi, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berjaya membimbing lebih 20,000 Bumiputera dari pelbagai latar belakang untuk menjadi insan cemerlang dan berkeyakinan tinggi.

Melalui Program Peneraju Profesional (pensijilan profesional), Peneraju Skil (pensijilan TVET) dan Peneraju Tunas (program akademik), Yayasan Peneraju menerima cabaran untuk merealisasikan aspirasi bakat-bakat Bumiputera agar dapat meningkatkan daya saing di peringkat global dan seterusnya menguasai ekonomi, selaras dengan arus perdana pembangunan negara.

Bagi salah seorang penerima faedah Peneraju Profesional, Wan Nor Mafudah Wan Yusof merasakan bahawa dirinya sentiasa menerima sokongan padu daripada pihak Yayasan Peneraju sepanjang tempoh pengajiannya sehingga beliau berjaya memperoleh pengiktirafan tempat pertama di peringkat dunia bagi peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), khusus untuk subjek Financial Reporting (F7).

"Saya berharap dengan apa yang saya kecapi, dapat memotivasikan pelajar di luar sana untuk terus berusaha kerana kunci kejayaan adalah di tangan kita sendiri. Saya mempunyai aspirasi untuk menjadi salah seorang akauntan Bumiputera bertauliah, sekaligus meningkatkan bilangan golongan tersebut yang hanya sekitar lapan peratus daripada lebih kurang 20,000 akauntan bertauliah di Malaysia.

Muhammad Fajrul Omar Muhamad Ridzuan, penerima faedah Peneraju Skil (dalam bidang Open Water Scuba Instructor) pula berkata, latihan yang ditawarkan Yayasan Peneraju berjaya mengubah hidupnya. Semasa kejatuhan minyak dan gas yang teruk, beliau tidak mendapat pekerjaan di dalam industri itu tetapi minat terhadap kerjaya di laut. Setelah menjalani program instruktor scuba dibawah kelolaan Yayasan Peneraju, Fajrul menjadi jurulatih skuba pada usia 22 tahun serta memulakan perniagaan sendiri menerusi syarikat Blackpearl DiveTeam.

"Selepas 2 tahun berkecimpung, saya bersama dua lagi rakan kongsi berjaya meneroka bidang minyak dan gas, dan menawarkan perkhidmatan kerja komersial di bawah air seperti 'underwater inspection', 'underwater welding and cutting' yang diberi nama Blackpearl Subsea," katanya yang juga Pengerusi kepada Scholars of Yayasan Peneraju for Transformation (ShYFT), kelab alumni penerima-penerima faedah Yayasan Peneraju.

Salah seorang daripada Penerima faedah Peneraju Tunas (yang memberi peluang kedua kepada bakat bumiputera dari latar belakang yang mencabar), Fawwas Abdul Rani berkongsi, tajaan dan bimbingan Yayasan Peneraju membantu beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan PNGK 3.80. Beliau kini seorang Pegawai Teknikal di All Cosmos Industries Sdn Bhd. Memetik sebahagian daripada ucapan beliau ketika menerima Anugerah Pelajar Terbaik dalam majlis graduasi "The Rising Star Award 2018" untuk penerima faedah Program Tunas Potensi baru-baru ini, "For you to be successful, if you fall make sure you fall forward"

Salah satu program di bawah Peneraju Tunas iaitu Peneraju Tunas Azam mensasarkan anak-anak daripada golongan asnaf dan yatim agar dapat dibangunkan pencapaian mereka, dari segi Pendidikan dan pembangunan insaniah.

"Pada tahun pertama pembabitan saya, saya amat sedih bila mengetahui ada anak-anak yang langsung tidak sempat mengenali ibu dan ayah kerana meninggal dunia sejak kecil lagi. Saya dapati ramai pelajar yang boleh diketengahkan bakatnya dalam pelbagai bidang termasuk persembahan teater, pementasan drama dan karier pengacaraan. Sampai sekarang, saya masih meneruskan khidmat kerana terpanggil untuk mendekati dan menyumbang tenaga kepada anak-anak asnaf ini," kata Noor Salawati Mohamad, salah seorang tenaga pengajar Peneraju Tunas Azam.

Sementara itu, kalangan penaja turut berpuashati sepanjang menjalin kerjasama dengan Yayasan Peneraju.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, PNB menyokong penuh peranan Yayasan Peneraju dalam peningkatan modal insan dan sentiasa memberikan komitmen berterusan terhadap agenda pemerkasaan Bumiputera.

"Misalnya, Pelan Strategik PNB STRIVE-15 menyaksikan usahasama PNB dengan Yayasan Peneraju bagi melahirkan 1,000 Akauntan Bumiputera Bertauliah menjelang tahun 2022 menerusi Inisiatif PNB Chartered Accountant (PCA). Ketika ini, PNB sedang menaja lebih 500 peserta yang telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dengan mendapat tempat antara 10 terbaik di dunia bagi pensijilan CAT, ACCA dan CFAB (ICAEW)," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby (YSD), Hajjah Yatela Zainal Abidin berkata, kerjasama erat dengan Yayasan Peneraju sejak tahun 2017 memberi peluang kepada YSD untuk memperluaskan peluang pendidikan kepada para pelajar luar bandar di Malaysia. Yayasan Peneraju juga menawarkan pelbagai kursus pemantapan Bahasa Inggeris serta pelbagai pembangunan 'soft skills' kepada pelajar tajaan YSD.

Pengarah Urusan S.N. Akmida Holdings Sdn Bhd, Datuk Samad Baisun pula yakin usaha melahirkan graduan profesional dalam ilmu al-Quran dan kejuruteraan adalah inisiatif murni ke arah membina kesepaduan ilmu duniawi dan ukhrawi yang perlu disokong demi memacu pertumbuhan negara. Kerjasama dengan Yayasan Peneraju dalam melahirkan golongan jurutera huffaz profesional diharap dapat menjadi pemangkin kepada model kerjasama di antara agensi kerajaan dan syarikat swasta ke arah sasaran 125,000 orang huffaz profesional melalui Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO, Datuk Hamzah Mohd Salleh berkata, kerjasama strategik bersama Yayasan Peneraju adalah inisiatif SPANCO dalam menyokong agenda transformasi ekonomi golongan Bumiputera. Kami fokus kepada pembangunan kemahiran golongan belia Bumiputera yang mempunyai minat mendalam dalam bidang automotif termasuklah mereka yang keciciran dalam bidang akademik tetapi berpotensi untuk diberi peluang kedua bagi mengubah nasib dan masa depan mereka," katanya.

Yayasan Peneraju mensasarkan seramai 40,000 penerima faedah bagi ketiga-tiga program teras yang ditawarkan menjelang tahun 2020.

Berita Harian X