Rabu, 4 April 2018 | 8:55pm

UiTM AV1 model kenderaan masa depan

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, melakar sejarah sebagai universiti pertama negara menghasilkan kenderaan tanpa pemandu, yang mampu dikawal selia menggunakan teknologi pengkomputeran.

Projek Urban InTelligent Mobile Autonomous Vehicle 1 atau singkatannya 'UiTM AV1' membabitkan pembangunan kenderaan autonomus yang dikoordinasi dan diintegrasi menggunakan teknologi serta komunikasi, selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0.

UITM AV1 yang dipertontonkan pada Majlis Sesi bersama media Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) untuk memberi lanjut dan hala tuju mengenai UiTM AV1 di UiTM Shah Alam - Foto Nurul Shafina Jemenon
UITM AV1 yang dipertontonkan pada Majlis Sesi bersama media Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) untuk memberi lanjut dan hala tuju mengenai UiTM AV1 di UiTM Shah Alam - Foto Nurul Shafina Jemenon

Dengan konsep penjenamaan projek ini, pembangunan UiTM UAV1 dianggap menepati sasaran pasaran semasa yang bersesuaian dengan fungsinya seperti untuk kegunaan kenderaan pengangkutan awam termasuk teksi dan konsep Uber serta Grab.

UITM AV1 dibangunkan bermula November tahun lalu dan ia membabitkan gabungan 16 pakar penyelidik mewakili empat fakulti UiTM Shah Alam.

Selain Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), tiga lagi ialah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.

REKAAN dalaman kenderaan elektrik yang dihasilkan UiTM. - Foto Nurul Shafina Jemenon
REKAAN dalaman kenderaan elektrik yang dihasilkan UiTM. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FKE, Dr Juliana Johari, berkata UITM AV1 yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersifat mesra alam serta menyokong kelestarian teknologi hijau, kerana menggunakan kuasa elektrik tanpa petrol.

Beliau yang mengetuai projek berkenaan, berkata apa yang menarik enjin kenderaan hanya dapat dihidupkan menerusi pengesanan wajah, manakala konsep rekaan produk diketengahkan dengan keunikan identiti Malaysia seperti seni bina Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), wau, keris dan bunga raya.

KUASA bateri dipertingkatkan untuk kegunaan jangka masa panjang. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KUASA bateri dipertingkatkan untuk kegunaan jangka masa panjang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Jimat tenaga

Dari segi rekabentuk, katanya UiTM AV1 ditampilkan secara aerodinamik dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan tinggi dan menjimatkan penggunaan tenaga kenderaan.

"Ia mempunyai empat tempat duduk yang fleksibel menggunakan tenaga elektrik yang mana casis kereta serta kuasa bateri, turut dipertingkatkan untuk menjamin ketahanannya bagi tempoh jangka panjang.

UiTM AV1 ditampilkan secara aerodinamik dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan tinggi dan menjimatkan penggunaan tenaga kenderaan. - Foto Nurul Shafina Jemenon
UiTM AV1 ditampilkan secara aerodinamik dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan tinggi dan menjimatkan penggunaan tenaga kenderaan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Produk ini turut dilengkapi sensor terkini dan termaju seperti Light Detection and Ranging (LiDAR) atau penentuan jarak berdasarkan pengesanan cahaya. Ia berupaya mencipta imej tiga dimensi (3D) dalam bentuk 360 darjah, menggunakan 16 laser bagi setiap unit pengesan dengan keupayaan pengesanan sejauh 100 meter.

"Sensor lain seperti unit pengukuran inersia (IMU) befungsi untuk mengesan arah pergerakan kenderaan dan menerima sistem pengesanan global (GPS) serta kinematik waktu nyata (RTK) yang berupaya memberikan ketepatan bacaan sehingga skala sentimeter," katanya pada sesi taklimat media, di sini, baru-baru ini.

REKAAN UiTM AV1 yang menarik ketika dipertontonkan kepada media. - Foto Nurul Shafina Jemenon
REKAAN UiTM AV1 yang menarik ketika dipertontonkan kepada media. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Paparan pintar

Tenaga penyelidik UiTMAV1, Noorfadzli Abdul Razak, berkata rekaan turut dilengkapi paparan pintar berasaskan teknologi IoT (Internet of Things) bagi memastikan setiap maklumat dapat dihantar secara terus secara atas talian, di samping mengesan serta mengelak objek di hadapan kenderaan.

Katanya, produk itu berupaya dipandu secara automatik pada laluan yang dipetakan terlebih dahulu menggunakan sensor seperti IMU, GPS dan LiDAR menerusi teknik Simultaneous Localization and Mapping (SLAM) atau pemusatan berterusan dan pemetaan.

"Penggunaan pengesan jarak laser (LRF) juga digunakan bertujuan mengesan sebarang objek di hadapan kereta dalam lingkungan 30 meter menggunakan teknik pantulan cahaya infra merah untuk mengukur jarak objek di hadapan.

"Gabungan semua ciri, sistem pengkomputeran, perisian dan kecerdasan buatan terkini ini membolehkan UiTM AV1 dipandu secara automatik dalam keadaan selamat pada kelajuan maksimum 25 kilometer per jam (km/j)," katanya.

HASIL usahasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka berjaya menghasilkan UiTM UAV1. - Foto Nurul Shafina Jemenon
HASIL usahasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka berjaya menghasilkan UiTM UAV1. - Foto Nurul Shafina Jemenon

INFO: UiTM AV1

  • Konsep penjenamaan menepati sasaran pasaran semasa yang bersesuaian, seperti kenderaan pengangkutan awam termasuk teksi dan konsep Uber serta Grab.
  • Tempat duduk penumpang boleh dipusingkan dapat meningkatkan keselesaan pengguna dan bebas untuk melakukan pelbagai aktiviti.
  • Boleh memuatkan enam penumpang
  • Berat 1,000 kilogram (kg)
  • Jarak perjalanan 50 kilometer (km)
  • Menggunakan bateri Lead Acid 8.1 kilowatt per jam (kWh).
  • Menggunakan spesifikasi motor Asynchronous DC Motor, 48-V, 5HP
  • Berkelajuan sehingga 25 km/j
  • UiTM AV1 ini akan ditambah baik untuk projek kesinambungan AV2 yang dijadual dilancarkan pada November ini

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X