Ahad, 22 April 2018 | 12:55pm
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail. - Foto Mikail Ong

Aplikasi lahirkan warga USM sihat

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan aplikasi #USMFIT bagi membolehkan pelajar dan kakitangannya membudayakan cara hidup sihat.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Asma Ismail, berkata aplikasi itu memberi memberi manfaat kepada 41,000 warga USM, termasuk 31,000 pelajar di semua kampus USM, yang menggunakan aplikasi itu merangkumi Weight Challenge, Trail, Nutritional Tips dan Active Campus.

Katanya, yang paling utama adalah Weight Challenge bagi memastikan setiap kakitangan USM mencapai serta mengekalkan berat unggul mengikut Indeks Jisim Badan (BMI) masing-masing.

"Seluruh warga kampus akan diukur berat badan mereka bermula dua minggu sebelum berpuasa serta menjalani modul yang akan dikendalikan oleh zon masing-masing bagi mengurangkan berat badan. Hasil keputusan akan diambil dua minggu selepas Aidilfitri ini.

"Jika berat badan kakitangan kami tidak mengikut BMI yang sepatutnya, 150 tenaga pengajar yang terdiri daripada kakitangan USM bersedia membantu mereka untuk membantu mencapai berat badan ideal.

"Justeru, saya mengalu-alukan seluruh warga USM untuk mengisi maklumat berkaitan berat badan dan tinggi masing-masing ke ke dalam laman sesawang #USMFIT bagi mewujudkan warga yang sihat dan ceria," katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program #USMFIT peringkat Kampus Kesihatan di Kompleks Sukan, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 1,400 warga USM menyertai aerobik dan beberapa program, termasuk berbasikal yang dianjurkan sempena USMFIT.

Berita Harian X