Selasa, 24 April 2018 | 4:24pm
IKHWAN merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat PPD Petaling Utama 2018 di SJK (C) Yuk Chai, di Petaling Jaya. - Foto Rohanis Shukri
IKHWAN (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Petaling Utama, Chia Kei Song, Khoo Swee Poh dan A Talib Ismail pada Sambutan Hari Guru Peringkat PPD Petaling Utama 2018 di SJK (C) Yuk Chai, di Petaling Jaya. - Foto Rohanis Shukri

Cabaran guru hadapi Revolusi Perindustrian 4.0

PETALING JAYA: Seiring perkembangan pesat ekonomi dan industri global, warga pendidik disaran melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT), sekali gus membolehkan mereka mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAYANG) Petaling Jaya Utara, Datuk Ikhwan Salim Sujak, berkata guru perlu memiliki kefahaman jelas berhubung teknologi terkini terutama untuk memantapkan lagi sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas.

Beliau berkata, sebagai pendidik yang mempunyai tanggung jawab dan amanah besar, guru juga mestilah mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu kemahiran serta berfikiran jauh ke hadapan.

"Dengan perkembangan teknologi yang pesat hari ini, guru perlu memiliki kefahaman menyeluruh mengenai teknologi dan tahu arah tujunya, seterusnya membantu melaksanakan sesuatu perancangan.

"Kita sedia maklum, persekitaran pembelajaran kini berbeza, justeru sebagai guru pengetahuan mereka perlulah seiring ataupun lebih ke hadapan daripada pelajar khususnya membabitkan teknologi terkini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Hari Guru Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama 2018 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chai di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Datin Nor Faridah A Bakar; Pegawai Pendidikan Daerah PPD Petaling Utama, Azmi Misron dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah PPD Petaling Utama, Siti Amiza Abdul Aziz.

Sementara itu, Azmi berkata, guru perlu memperlihatkan keiltizaman tinggi untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran pada setiap masa serta memastikan pedagogi sejajar dengan perkembangan abad ke-21.

Katanya, penjanaan keberhasilan pendidikan dan martabat keguruan mampu ditingkatkan sekiranya guru berani serta komited menyahut cabaran transformasi dengan penuh motivasi.

"Saya berharap agar guru sentiasa mengingati tanggung jawab dan peranan sebagai pendidik yang mengilmukan rakyat kerana maju mundurnya negara kita pada masa akan datang adalah bergantung pada keberkesanan kita (guru) memainkan peranan sebagai arkitek pembangunan insan," katanya.

Pada majlis itu, Ikhwan Salim turut menyampaikan anugerah Tokoh Hari Guru kepada tiga guru terbabit iaitu Khoo Swee Poh, Chia Kei Song dan A Talib Ismail.

Ketiga-tiga mereka dipilih berdasarkan jasa, sumbangan bakti dan kejayaan diperoleh sepanjang perkhidmatan mendidik anak bangsa merangkumi pelbagai peringkat termasuk daerah hingga antarabangsa.

Berita Harian X