Khamis, 24 Mei 2018 | 4:45pm
MAZULA (kiri) bersama kakitangan UPU di kaunter rayuan yang disediakan di Kementerian Pendidikan Tinggi.

Pemohon gagal ke IPT boleh kemuka rayuan

KUALA LUMPUR: Pelajar yang gagal menerima sebarang tawaran ke institut pengajian tinggi (IPT) khususnya universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) boleh mengemukakan rayuan sehingga esok (25 Mei 2018).

Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Mazula Sabudin, berkata hanya pemohon yang gagal mendapat tempat boleh mengemukakan rayuan mereka.

Beliau berkata, keputusan rayuan boleh diketahui pada 5 Jun ini.

Sehubungan itu, katanya, rayuan ke UA dan Politeknik Premier boleh dibuat melalui UPUOnline Rayuan di URL http://upu.mohe.gov.my dalam tempoh lima (5) hari bekerja iaitu mulai 21 Mei 2018 (jam 12 tengah hari) sehingga 25 Mei 2018 (jam 11.59 malam).

"Rayuan ke Politeknik Konvensional/ Politeknik METrO, kolej komuniti dan ILKA boleh dibuat dengan mengemukakan permohonan terus kepada agensi berkaitan.

"Dasar pemilihan rayuan pelajar adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan," katanya kepada BH Online, di sini, hari ini.

Keputusan permohonan kemasukan ke UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA bagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk kemasukan ke Program Pengajian Asasi, Sijil dan Diploma sesi 2018/ 2019 diumumkan pada 21 Mei lalu.

Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar kini membuka kaunter khidmat runding cara permohonan kemasukan ke UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA di Ruang Legar, Bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Kaunter berkenaan dibuka sejak 21 Mei lalu sehingga 13 Jun ini mulai jam 8.30 pagi hingga 4 petang, setiap Isnin hingga Jumaat bagi memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara dengan lebih jelas.

Pemohon juga boleh menghubungi talian hotline 03-8870 8200 untuk bantuan dan penerangan.

Untuk maklumat lanjut, pemohon juga boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi melalui emel [email protected] atau platform media sosial Facebook: KEMASUKAN BPKP JPT, Twitter: @TWT_UPU dan Instagram: @KEMASUKANBPKP.

Berita Harian X