Sabtu, 26 Mei 2018 | 5:24pm
PELAJAR SMK Putrajaya Presint 8(1) menjalani latihan sebagai persediaan menjelang pertandingan robotik World Adolescent Robot Contest (WARC) 2018 di Guizhou, China, pada Julai ini. - Foto ihsan SMKPP 8 (1)
PELAJAR SMK Putrajaya Presint 8(1) menjalani latihan sebagai persediaan menjelang pertandingan robotik World Adolescent Robot Contest (WARC) 2018 di Guizhou, China, pada Julai ini. - Foto ihsan SMKPP 8 (1)

2 sekolah wakil Malaysia ke pertandingan robotik

PUTRAJAYA: Malaysia akan diwakili dua pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) dan Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Johor bagi pertandingan robotik World Adolescent Robot Contest (WARC) 2018 di Guizhou, China.

Dua pasukan itu pernah menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan anjuran syarikat Sasbadi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, tahun lalu, sekali gus layak mewakili negara pada kejohanan berkenaan.

Kejohanan membabitkan penyertaan daripada 58 negara itu akan berlangsung bermula 19 hingga 26 Julai ini di Guizhou University terletak di Bandar Guiyang.

Guru SMK Putrajaya Presint 8(1), Rizawani Mustafa merangkap mentor pasukan sekolahnya berkata, ini adalah kali pertama pasukan dari sekolah berkenaan dijemput menyertai pertandingan robotik di peringkat antarabangsa.

"Pelajar yang mewakili sekolah kami akan menggunakan model EV3 Mindstorms jenama Lego berharga kira-kira RM2,900 pada pertandingan di China nanti.

"Kami menerima makluman awal bulan ini dan sudah tentu sangat gembira dan terkejut kerana sekolah harian di Putrajaya dapat memasuki kejohanan ini.

"Tiga pelajar yang mewakili pasukan kami juga sudah dua minggu menjalani latihan yang turut dibantu pihak Sasbadi sebagai persediaan sebelum ke sana," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ditanya mengenai pertandingan itu, beliau berkata, setiap peserta perlu memastikan robot yang dibawa dapat menyelesaikan misi dan juri akan menilai pemarkahan selain ketangkasan masa digunakan.

"Peserta akan dikuarantin terlebih dahulu selama dua jam tanpa kehadiran guru dan mereka perlu memasang robot berkenaan selain memprogramkannya menerusi kerja yang perlu dibuat melalui komputer riba.

"Selepas semua tugasan ini diselesaikan, barulah robot berkenaan boleh bergerak untuk melakukan misi bagi mendapatkan pemarkahan," katanya.

Peserta dari SMK Putrajaya Presint 8(1), Syazani Zikry Zahari, 15, berkata dia teruja menyertai pertandingan itu namun bimbang saingan sengit daripada peserta negara lain.

"Antaranya peserta dari Russia dan Jepun yang sering mendapat tempat pertama dan kedua pertandingan robotik peringkat antarabangsa," katanya.

Selain Syazani Zikry, dua lagi peserta mewakili pasukan dari sekolah berkenaan ialah, Muhammad Amrul Al-As Pauzan dan Amirul Akmal Khairul Izwan masing-masing berusia 15 tahun.

Berita Harian X