Jumaat, 8 Jun 2018 | 2:41pm
PROF Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menunjukkan butiran kenaikan kedudukan UKM kepada pengurus-pengurus UKM sempena majlis Sidang Media QS Ranking UKM di Bilik Mesyuarat Lembaga, UKM Bangi. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PROF Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (kiri) menunjukkan butiran kenaikan kedudukan UKM kepada pengurus-pengurus UKM sempena majlis Sidang Media QS Rangking UKM di Bilik Mesyuarat Lembaga, UKM Bangi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

UKM capai ranking 184 teratas dunia

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencapai kejayaan apabila berada pada kedudukan ke-184 universiti teratas dunia, menurut Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings bagi tahun 2018.

Kedudukan universiti itu melonjak 46 anak tangga dari kedudukan ke-230 pada tahun lalu.

Enam aspek utama dinilai menerusi QS meliputi reputasi akademik, reputasi majikan, penyelidikan dan sitasi, skala pensyarah dan pelajar, ahli akademik antarabangsa serta pelajar antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata pengiktirafan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah turut menarik pelabur asing ke arah ekonomi negara yang lebih baik.

Katanya, perkara itu turut meyakinkan pelajar luar negara agar memilih UKM untuk melanjutkan pelajaran di sini.

"Selaku universiti yang tersenarai 200 teratas dunia, kami membuka peluang pelajar untuk mencapai kerjaya yang lebih baik kerana majikan percaya dengan kualiti pencapaian dan akademik yang kami sediakan.

"Dengan kedudukan terbaharu ini, ia akan menarik lebih ramai pelabur asing yang kebanyakannya berlatarbelakangkan pengetahuan dan penyelidikan," katanya pada sidang media di Bangunan Canselori, di sini, hari ini.

Noor Azlan berkata, UKM tidak hanya memfokuskan prestasi akademiknya, tetapi juga memberi keutamaan dalam bidang penyelidikan seperti inovasi kanser payudara, mencipta ginjal tiruan dan penemuan Antena Nano Satelit terkecil di dunia.

Sehingga kini, katanya, UKM mencatatkan keahlian alumni seramai 190,170 dengan sebahagian mereka memegang jawatan penting dalam negara.

Katanya, antara mereka ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Berita Harian X