Isnin, 9 Julai 2018 | 8:30am
PESERTA melaungkan keazaman untuk meraih keputusan cemerlang dalam UPSR tahun ini. - Foto Rosela Ismail

Tesco Malaysia bantu murid KL

KUALA LUMPUR: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) komited membantu murid kurang berkemampuan di sekitar ibu kota dengan menyediakan peluang pendidikan secara percuma kepada mereka.

Usaha itu dilaksanakan menerusi jalinan kerjasama dengan The New Straits Times Press (NSTP) dalam menganjurkan Jelajah BH Didik bersama Tesco kepada sekolah angkat syarikat itu termasuk murid miskin dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

Guru pengiring dari SBJK, Puan Norita Masek, berkata inisiatif Tesco Malaysia itu amat baik kerana bukan sahaja mendedahkan murid dengan teknik menjawab peperiksaan sebenar, malah menyuntik motivasi mereka untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

Tidak kuasai 3M

"Hal ini kerana rata-rata mereka tercicir dalam pelajaran dan datang daripada keluarga yang tidak menerima pendidikan formal, jadi ada yang tidak menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M) serta lemah dalam pelajaran.

"Bagaimanapun, dengan teknik dan tip menjawab peperiksaan yang dikongsikan oleh penceramah di sini, saya yakin sedikit sebanyak akan membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka ke tahap lebih baik di samping lebih bersemangat untuk turut sama belajar seperti murid lain dan berjaya pada masa hadapan kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Klinik UPSR BH-Tesco yang berlangsung di Auditorium Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir ketika perasmian program itu ialah Ketua Pegawai Eksikutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie; Ketua Pegawai Komersial NSTP (M) Berhad, Encik Alfian Abu Talib; Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengurus Besar Jabatan Pendidikan Vertikal NSTP, Cik Farah Ezrin Mohd Rashidi dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Encik Roche Chew.


PESERTA tekun mengikuti penyampaian penceramah.- Foto Rosela Ismail

Pendedahan subjek UPSR

Program dua hari membabitkan seramai 250 calon UPSR dari 11 buah sekolah angkat terpilih syarikat berkenaan itu memberi pendedahan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang disampaikan oleh guru cemerlang dengan menggunakan format peperiksaan terkini.

Bagi murid SBJK, Siti Nur Anessya Balqis, 12, selepas menghadiri program berkenaan, dia lebih faham cara menjawab soalan tertentu dengan penerangan jelas oleh penceramah, biarpun mengakui lemah dalam mata pelajaran Matematik.

Katanya, cara penyampaian penceramah amat menarik dan mudah untuk diikuti dan diterapkan ketika mengulang kaji pelajaran mahupun dalam peperiksaan.

"Saya tidak mahir dalam topik bundar, tetapi kini saya sudah faham kaedah menjawabnya. Dengan ilmu yang dikongsi, saya berharap agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan berjaya satu hari nanti agar dapat membawa ibu menunaikan umrah serta memberikannya kehidupan yang lebih selesa berbanding sekarang," katanya.

Info:

  • Sekolah terbabit dalam Klinik termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Jaya, SK Taman Dato' Harun, SK Puchong Utama, SK Taman Midah 2, SK Bandar Utama Damansara 4, SK Seri Setia, SK Sungai Binjai, SK Tropicana, SK Seksyen 17 dan SK Seksyen 20.
  • SBJK merupakan sekolah istimewa untuk anak gelandangan yang terletak di Lorong Haji Husein, Chow Kit.
Berita Harian X