Isnin, 16 Julai 2018 | 9:00am
CALON UPSR sekitar Sungai Petani ceria apabila berpeluang mengikuti seminar tajaan Tesco Malaysia. - Foto Omar Osman

'Keputusan cemerlang untuk arwah abah'

SUNGAI PETANI: "Saya akan hadiahkan keputusan yang cemerlang untuk arwah abah pada UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti," kata anak yatim yang juga peserta Jelajah BH Didik Bersama Tesco, Nur Amira Nadia Fauzi, baru-baru ini.

Arwah ayahnya yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang sejak dia berusia tujuh tahun berpesan untuk tidak meninggalkan solat dan sentiasa membaca al-Quran.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jitra 2 itu mengakui pesanan terbabit menjadi amanat terakhir arwah bapanya dan bakal menjadi resipi utama kejayaannya dalam peperiksaan.


NUR Amira Nadia Fauzi.

Terus fokus

Amira yang kini menetap bersama neneknya giat membuat persediaan untuk memperoleh keputusan cemerlang UPSR dengan membuat latihan dan sentiasa fokus dalam pelajaran.

"Walaupun emak, Nur Ain Yong Abdullah, berada di Kuala Lumpur, beliau sentiasa mengambil berat bagi memastikan saya tidak membuang masa dan konsisten dalam mengulang kaji pelajaran.

"Saya pasti abah akan 'tersenyum' sekiranya melihat saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat 6A dalam peperiksaan UPSR," katanya ketika ditemui pada seminar itu, baru-baru ini.

Amira adalah antara 250 pelajar dari lima sekolah rendah terpilih sekitar negeri ini yang mengikuti program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Tesco Malaysia (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Vertikal NSTP.

Program menyediakan panduan dan kaedah belajar secara berkesan selama dua hari itu membabitkan empat subjek iaitu Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sains.


PESERTA tekun mengikuti pembentangan penceramah. - Foto Omar Osman

Penerangan jelas

Sementara itu, murid SK Dato Wan Mohamad Saman, Lailatul Quraisya Rosni, berkata dia mendapat tahu mengenai seminar itu daripada guru di sekolahnya dan terus berminat untuk mengambil bahagian kerana mahu mendapatkan pelbagai maklumat mengenai teknik menjawab yang dikongsikan oleh penceramah.

"Saya mendapat penerangan yang jelas dalam semua mata pelajaran sepanjang program ini, sekali gus membantu persediaan bagi menduduki peperiksaan nanti," katanya.

Bagi murid SK Tikam Batu, Wan Amir Hamizan Wan Ahmad, penguasaannya dalam subjek Matematik agak lemah, tetapi mula yakin untuk menjawab soalan peperiksaan selepas mendapat lebih panduan teknik menjawab daripada penceramah berpengalaman.

"Pada seminar ini juga saya tidak melepaskan peluang bertukar pandangan bersama pelajar sekolah lain," katanya.

Info

  • Tesco Malaysia menganjurkan program Jelajah BH Didik Bersama-sama Tesco membabitkan 30 sekolah pada tahun ini.
  • Program berkenaan membabitkan kira-kira 1,000 murid Tahun Enam.
  • Membabitkan empat lokasi iaitu Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.
Berita Harian X