Selasa, 7 Ogos 2018 | 9:31pm
Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dilantik sebagai Rektor ke-6 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dzulkifli dilantik Rektor ke-6 UIAM

GOMBAK: Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dilantik sebagai Rektor ke-6 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk tempoh dua tahun (2018-2020), berkuatkuasa Rabu lalu.

Menurut kenyataan pejabat komunikasi korporat UIAM, hari ini, pelantikan beliau menggantikan Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin yang mengakhiri tempoh perkhidmatan sebagai Rektor pada 31 Julai lalu, selepas menyumbang bakti sejak 2011.

Pelantikan beliau sebagai Rektor ke-6 UIAM mendapat perkenan Sultan Pahang yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah selepas disembahkan kepada Tuanku oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau yang cukup dikenali dan dihormati sebagai ahli akademik pengajian tinggi tersohor negara, berpengalaman luas dalam dunia akademik serta pentadbiran pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Presiden Persatuan Universiti Antarabangsa berpangkalan di Paris, Perancis dan Felo Akademi Sains Malaysia.

Pengalaman beliau terserlah ketika menerajui USM sebagai Naib Canselor selama 11 tahun selepas berjaya menjadikan universiti berkenaan berstatus APEX (Accelerated Programme for Excellence).

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Pengurusan Universiti (UMC) dan warga UIAM percaya daya kepimpinan dan pengalaman luas yang dimiliki beliau mampu memacu universiti ini untuk menjadi peneraju dalam segenap aspek ilmu serta menjadikan UIAM sebagai pusat rujukan Dunia dalam bidang Ilmu Islam.

Pada masa sama, universiti juga menghargai dan berterima kasih kepada Zaleha atas sumbangan serta jasanya kepada UIAM sepanjang beliau menerajui universiti berkenaan.

Berita Harian X