Sabtu, 11 Ogos 2018 | 2:46pm

MSU iktiraf Pengerusi Eksekutif Top Glove

SHAH ALAM: Management Science University (MSU) menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Keusahawanan kepada tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Dr Lim Wee Chai yang juga Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd (Top Glove).

Anugerah itu diserahkan oleh Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Ke-23 universiti itu, di sini, hari ini.

Selain Wee Chai, MSU menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan Pendidikan kepada Pengerusi Accreditation Service for International Schools, Colleges & Universities (ASIC), Maurice K Dimmock.

Penganugerahan itu atas sumbangan besar beliau dalam mempelopori peningkatan standard kualiti bidang pendidikan antarabangsa di peringkat global.

Wan Mohd Zahid berkata, anugerah diberikan kepada Wee Chai bagi mengiktiraf peranan beliau dalam memacu perkembangan Top Glove sebagai peneraju pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.

“Sesungguhnya anugerah ini diberikan kepada ikon usahawan sebagai pengiktirafan segala sumbangan dan kejayaan beliau selaku pengeluar sarung tangan terbesar.

“Begitu juga dengan pengiktirafan kepada Maurice. Kita harap sumbangan ini akan bagi semangat kepada beliau untuk terus menyumbang manfaat kepada bidang pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir, Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselornya, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Pada majlis konvokesyen dua hari itu, seramai 1,700 graduan akan menerima anugerah masing-masing membabitkan 36 penerima Ijazah Pasca Siswazah, Ijazah Sarjana Muda (1,113) dan Diploma, 551 penerima.

PENERIMA Anugerah Pingat Emas Canselor, Arivananthan Kanakasundar (tengah) ketika meraikan kejayaan bersama rakan-rakan sempena Majlis Konvokesyen ke-23 MSU di Dewan Canselor MSU, Shah Alam. - Foto Intan Elliana Zakaria
Berita Harian X