Khamis, 16 Ogos 2018 | 5:51pm
PELAJAR Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu mencipta pintu keselamatan automatik mesra pengguna, Smart Door. - Foto Imran Makhzan

Smart Door mesra OKU

KUALA TERENGGANU: Melihat kepayahan orang kurang upaya (OKU) memulas tombol untuk membuka pintu, memberi ilham kepada pelajar Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu mencipta pintu keselamatan automatik mesra pengguna, Smart Door.

Kumpulan lima pelajar tingkatan empat yang mengggelarkan diri mereka sebagai Anonymous itu mengambil masa dua minggu untuk menghasilkan Smart Door dengan menggunakan bahan yang selamat dan bebas radiasi.

Ketua kumpulan, Muhammad Firdaus Mohd Fitri, 16, berkata pintu keselamatan itu boleh dibuka melalui tiga cara iaitu ketukan berirama, kad RFID (pengenalan berfrekuensi radio) dan kata laluan menggunakan teknologi Bluetooth pada telefon pintar.

“Smart Door dapat mengesan kod ketukan yang dihasilkan sendiri oleh pengguna. Bagi golongan OKU pula amat mudah membuka pintu ini melalui kad RFID atau gunakan saja kata laluan yang disetkan pada telefon pintar.

“Pintu ini juga mempunyai sistem kunci automatik dan beberapa ciri keselamatan lain. Kami mendapat idea menghasilkan Smart Door apabila melihat sendiri OKU yang mengalami kepayahan membuka pintu,” katanya.

Beliau ditemui pada Pesta SEM (School Enrichment Model) 2018 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka membelanjakan RM120 bagi membeli barangan untuk menghasilkan Smart Door.

Hasil rekaan berkenaan membolehkan pasukan Anonymous yang turut dianggotai Muhammad Alif Najmi Mohd Fadhli, Muhammad Syakir Najmi Shukri, Amir Arif Rosli dan Muhammad Ashraf Mohd Roslan itu memenangi Pesta SEM 2018 dengan mengalahkan peserta dari 24 sekolah di seluruh Terengganu.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Khidmat Pengurusan) YT, Mazlan Che Wil yang mengelolakan pertandingan berkenaan, berkata sejak diperkenalkan pada 2005, hampir setiap tahun produk dihasilkan pelajar yang menjadi pemenang Pesta SEM turut memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa antaranya di Taiwan, Indonesia, Singapura dan Korea.

Berita Harian X