Jumaat, 17 Ogos 2018 | 5:34pm
MOHAMMED (kanan) beramah mesra dengan penerima biasiswa Gamuda, dari kiri; Mustafa Abdullah, Nurul

Biasiswa Gamuda, pelaburan bakat masa depan

PETALING JAYA: Tiga puluh empat pelajar bertuah dipilih menerima biasiswa dari Yayasan Gamuda untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang berpotensi tinggi di universiti awam dan swasta tahun ini.

Pada majlis penganugerahan yang berlangsung di Menara Gamuda, di sini, semalam, Ahli Lembaga Pengarah Gamuda, Datuk Seri Raja Eleena Sultan Azlan Shah menyampaikan biasiswa kepada semua pelajar terbabit.

Penerima biasiswa, Sararossy Sungki Anthony, 22, yang berasal dari Song, Sarawak berkata beliau akan melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Awam bagi merealisasikan impiannya untuk bergelar seorang jurutera yang berupaya membawa kemajuan kepada kampungnya suatu hari nanti.

Katanya, tiada kemudahan jalan raya yang sempurna, bangunan pencakar langit atau tanda-tanda kemajuan di Song, menyebabkan beliau mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan sivil.

Sejak diperkenalkan pada 1996, lebih 340 pelajar menerima manfaat daripada biasiswa Gamuda yang bernilai hampir RM40 juta dengan lebih 1,800 permohonan diterima pada tahun ini.

Bakat masa depan

Sementara itu, Nurul Ain Farhana Zainordin, 22, berkata masalah sistem pengairan dan banjir yang menjejaskan kawasan perumahannya di daerah Perling, Johor sejak bertahun-tahun, membuatkannya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah.

“Saya faham pembangunan pesat berlaku di kebanyakan bandar, namun saya merasakan bahawa pembangunan dengan perancangan yang teliti mampu memberikan kualiti kehidupan lebih baik,” katanya yang juga penerima pertama Biasiswa Gamuda untuk jurusan terbabit.

Penerima lain, Mustafa Abdullah, 21, dari Serendah, Selangor, berkata beliau mahu membanggakan keluarga dan mahu terbabit dalam projek infrastruktur besar yang turut menyumbang kepada pembangunan mampan negara.

Pengerusi Gamuda Bhd, Datuk Mohammed Hussein berkata, pemberian biasiswa ini adalah antara inisiatif membina dan membentuk generasi berpotensi yang akan memberi pulangan kewangan kepada syarikat dan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan serta kemajuan negara.

“Kami pernah menempuhi pelbagai cabaran termasuk kegawatan ekonomi dan masih berjaya membina daya tahan serta reputasi yang kukuh. Dunia kini sedang melalui suatu lagi tempoh perubahan, termasuklah Malaysia.

“Kami memerlukan bakat berkemahiran yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan dan memastikan ia terus berkembang supaya kami boleh terus menjana peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Saya menekankan aspek ini kerana majoriti perniagaan yang kami sokong adalah perniagaan tempatan dan sumber bakat pula adalah rakyat Malaysia sendiri. Kami berusaha untuk bersifat inklusif apabila berkongsi peluang perniagaan dan pekerjaan yang dijana,” katanya.

Berita Harian X