Selasa, 28 Ogos 2018 | 10:04pm
PERSEMBAHAN tarian wakil Malaysia berjaya memikat juri IDO World Dance Cups 2018, di Korea Selatan.

Sekolah Cempaka KL unggul di Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Sekolah Cempaka Kuala Lumpur melakar sejarah tersendiri apabila penyertaan sulung dalam pertandingan IDO World Dance Cups yang berlangsung di Korea Selatan kelmarin membuahkan hasil.

Sekolah terbabit mengungguli beberapa kategori termasuk juara bagi Showdance Performing Arts Cup selain cemerlang dalam dua lagi kategori iaitu tempat kedua dalam rutin Folklore Dance Oriental & Performing Art Cup membabitkan kategori remaja dan dewasa.

Pengasas dan Mentor Kumpulan Sekolah Cempaka Kuala Lumpur, Datuk Freida Datuk Mohd Pilus, berkata pencapaian itu membuktikan budaya Malaysia khususnya seni tari mampu menarik minat masyarakat dunia.

“Bagi Showdance Performing Arts Cup, kami mempertaruhkan persembahan unik yang berlatarbelakangkan lagu Puan Sri Tiara Jaqueline, iaitu Asmaradana bagi memperkenalkan Malaysia kepada negara luar menerusi kisah epik Puteri Gunung Ledang yang mana tariannya mempamerkan kekuatan, kebijaksanaan dan cinta puteri pahlawan ke atas tanah air mereka.

“Lebih menarik apabila persembahan itu adalah hasil idea pelajar dan juga ibu bapa yang berkorban masa serta tenaga bagi memastikan penyertaan Malaysia ini mampu menarik perhatian juri,” katanya ketika dihubungi BH.

IDO World Dance Cups 2018 yang berlangsung di wilayah Chuncheon membabitkan penyertaan dari 16 negara yang mempertandingkan pelbagai kategori tarian seperti tarian moden, tap, ballet, jazz, persembahan tarian, salsa dan bachata.

Kumpulan yang memenangi tempat pertama itu dianggotai dua pelajar Sekolah Cempaka Kuala Lumpur iaitu Emira Aisya Abdul Jamal dan Elaine Wong Yen Yan dalam kategori Showdance Performing Arts Cup.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Sekolah Cempaka, Rachel Wong Yen Ye dan pelajar Kolej Yayasan UEM, Ameer Danial Abdul Jamal memenangi pingat perak di dalam kategori tarian ‘Folklore’ dalam Oriental & Folklore Cup.

Freida berkata, penyertaan berkenaan bukan saja diharap dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia, tetapi juga memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepelbagaian budaya lain dari negara yang turut bertanding.

“Peserta yang hadir dapat menyaksikan keunikan pelbagai jenis tarian dari seluruh dunia, sekali gus memberi mereka peluang untuk mempelajari pelbagai budaya sama ada dari segi tarian mahupun busana tradisional,” katanya.

Berita Harian X