Khamis, 30 Ogos 2018 | 9:27pm
Abdul Ghaffar menunjukkan risalah pakej terbaru ditawarkan PTPTN menerusi SSPN-i dan SSPN-i Plus di Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir
Abdul Ghaffar menunjukkan risalah pakej terbaru ditawarkan PTPTN menerusi SSPN-i dan SSPN-i Plus di Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Simpanan awal jamin masa depan anak

KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja seorang anak itu lahir, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa melakukan sesuatu sebagai persediaan jaminan hidup pada masa akan datang.

Ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal, makan dan pakaian tetapi pada masa sama memikirkan jaminan masa depan anak mereka dalam pendidikan.

Dalam membuat tabungan masa depan, produk simpanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus adalah yang terbaik dan dilakukan sedari awal.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis, Abdul Ghaffar Yusop, berkata amalan itu perlu dilakukan dari awal mulai hari ini dengan simpanan serendah RM1 sehari.

“Mulakan hari ini kerana tanpa permulaan awal, keadaan tidak akan berubah dan anda akan berada di tahap yang sama.

“Lebih awal menyimpan, lebih terjamin masa depan anak. Lahir sahaja anak sudah memiliki MyKid, penabungan boleh dilakukan.

“PTPTN menerusi produk SSPN-i dan SSPN-i Plus menyediakan pelbagai keistimewaan kepada ibu bapa dalam merencanakan masa depan,” katanya ketika ditemui di Menara PTPTN.

Abdul Ghaffar berkata, ibu bapa perlu faham walaupun simpanan kecil iaitu hanya RM30 sebulan tetapi tempoh simpanan yang lama di samping dividen tinggi, jumlah itu akan bertambah.

Ini secara tidak langsung akan membantu anak apabila menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) nanti dan tidak perlu membuat pinjaman.

Usah harap bantuan kerajaan

“Sudah sampai masanya ibu bapa mengubah cara pemikiran yang mengharapkan kerajaan membantu membiayai pendidikan anak mereka sedangkan ia adalah tanggungjawab ibu bapa.

“Ketika mula diperkenalkan dulu, hanya 10 peratus saja yang membuat simpanan secara bulanan, manakala pendeposit yang lain hanya membuka akaun sebanyak RM20 dan tidak membuat sebarang penambahan sehingga anak mereka berusia 18 tahun,” katanya.

SSPN-i Plus diperkenalkan pada 2015 bagi membantu mendisiplinkan ibu bapa membuat simpanan. Pakej yang diperkenalkan adalah serendah RM30 untuk pakej Intan, manakala paling tinggi adalah RM500 sebulan iaitu pakej Berlian.

“Tidak kiralah pakej mana dipilih ibu bapa yang penting kemampuan komitmen setiap bulan. Jika anda boleh menyimpan RM50 sebulan dalam tempoh 20 tahun, anda dapat mengumpul lebih RM15,000 untuk pendidikan anak anda. Sebab itulah anda perlu memulakannya sekarang.

“Dalam setiap simpanan ada bahagian untuk takaful. Sekiranya ibu bapa mengambil pakej Intan iaitu RM30, sebanyak RM20 adalah simpanan manakala RM10 untuk takaful.

“SSPN-i Plus mempunyai takaful di dalam simpanan kerana ia penting untuk jaminan masa depan,” katanya.

Kata Abdul Ghaffar, ada satu kes di Negeri Sembilan yang mana seorang bapa mengambil pakej RM30 untuk ketiga-tiga anaknya bermula 1 Mei lalu.

“Selepas 19 hari mengambil pakej itu, bapa berkenaan mengalami kemalangan dilanggar lori ketika keluar bekerja dan meninggal dunia.

“Ketika isterinya buntu memikirkan masa depan anak mereka, PTPTN hadir memberikan wang berjumlah RM127,000 untuk meringankan beban.

“Wang berkenaan adalah sebahagian daripada manfaat takaful yang diberi kepada pendeposit SSPN-i Plus.

Produk ini menawarkan pakej simpanan yang dijamin kerajaan dan mempunyai perlindungan takaful yang komprehensif termasuk kematian, ilat kekal dan 36 penyakit kritikal, selain mendapat pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 dan layak mendapat dividen tahunan.

“Tahun ini juga disediakan geran sepadan untuk 500,000 pendeposit terawal. Ibu bapa yang membuat simpanan RM500 untuk anak berusia 7 hingga 12 tahun akan diberikan simpanan sebanyak RM500,” katanya.

Sedia hadiah RM2 juta

Bagi menarik lebih ramai ibu bapa membuat simpanan, PTPTN turut memperkenalkan Cabutan WOW! yang menyediakan hadiah menarik bernilai RM2 juta. Cabutan WOW! dibuat setiap bulan, sukuan dan tahunan.

Promosi Cabutan WOW! yang diadakan sehingga 31 Disember ini menyediakan hadiah pakej pelancongan untuk satu keluarga membabitkan suami, isteri dan dua orang anak. Empat hadiah utama disediakan iaitu pakej pelancongan keluarga ke Disneyland Jepun atau umrah.

Bagi cabutan tahunan, wang tunai RM100,000 disediakan bagi hadiah utama bersama RM50,000 kepada dua pemenang, RM10,000 kepada tiga pemenang tempat ketiga dan 4,000 orang pemenang hadiah saguhati RM200.

PTPTN turut menyediakan pakej pelancongan keluarga dalam negara bernilai RM4,000 dan duit poket bernilai RM1,500 serta 30 hadiah saguhati Tiket Percutian Keluarga ke Taman Tema Dalam Negara Bernilai RM1,500 dan duit poket RM500.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian Careline PTPTN 0321933000 atau layari laman web www.lovesspn.com.

Berita Harian X