Ahad, 23 September 2018 | 8:57pm
DR Mohd Rizon (tiga dari kanan) bersama pengurusanJapan Institute Of The Moving Images (JIMI) di Kawasaki-City,Kanagawa, Jepun. - NSTP

Pelajar ASWARA dalami ilmu filem di Jepun

KUALA LUMPUR: Bagi merealisasikan pemindahan teknologi perfileman dari Jepun ke negara ini, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerokai jalinan kerjasama dengan tiga institusi pendidikan di Kawasaki- City, Kanagawa, Jepun.

Institusi terbabit adalah Japan Institute of The Moving Images (JIMI), Kawakasi-City, Kanagawa; School Of Film and New Media, Tokyo University Of The Arts (Tokyo Geidai) dan IMAGICA Corporation

Rektor ASWARA, Prof Datuk Dr Mohd Rizon Juhari, berkata JIMI adalah satu-satunya universiti swasta di Jepun yang menawarkan program perfileman di luar Tokyo.

Katanya, pensyarah institusi berkenaan mencakupi pengarah filem terkenal.

Beliau berkata, kerjasama dengan Tokyo Geidai pula meliputi pertukaran pensyarah dan pelajar Fakulti Filem dan Televisyen ASWARA ke institusi berkenaan.

“Pensyarah ASWARA juga berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang perfileman di Tokyo Geidai, iaitu satu-satunya universiti awam di Jepun yang menawarkan program akademik dalam bidang perfileman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Mohd Rizon berkata, selain kerjasama institusi pendidikan, ASWARA juga menjalin kerjasama strategik bersama IMAGICA Corporation iaitu syarikat pasca penerbitan untuk perfileman yang terbesar di Jepun bagi memberi peluang kepada pelajar ASWARA menjalani latihan industri di sana.

“Ini membuktikan ASWARA memandang serius mengendalikan tahap kualiti pelajarnya, iaitu mereka diberi peluang untuk menjalani latihan industri di negara Matahari Terbit dan tidak terhad hanya di dalam negara saja,” katanya.

Dalam pada itu, Bahagian Komunikasi Korporat ASWARA dalam satu kenyataan berkata, Dr Mohd Rizon pernah belajar dan bekerja di Jepun selama 15 tahun yang digunakan sepenuhnya untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Jepun dalam bidang seni dan budaya.

Mengikut kenyataan itu, Dr Mohd Rizon mengetuai lawatan kerja ASWARA selama lima hari ke Jepun, baru-baru ini.

Berita Harian X