Jumaat, 28 September 2018 | 7:55pm
PENGERUSI Yayasan Bank Rakyat, Tan Sri Shukry MOhd Salleh (dua dari kanan) meramah mesra dengan penerima anugerah pada majlis Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Bank Rakyat 2018. Turut sama Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin (kanan). - Foto Rohanis Shukri

YBR iktiraf graduan cemerlang

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 25 graduan cemerlang sebagai mengiktiraf pencapaian mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum bersempena Anugerah Graduan Cemerlang YBR 2018 di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.

Hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 berserta sijil penghargaan turut dianugerahkan kepada graduan lepasan ijazah Sarjana Muda 2018 itu yang berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas.

Pengerusi YBR, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, berkata ganjaran wang tunai RM1,000 setiap seorang itu diberikan sebagai insentif kepada graduan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum sepanjang pengajian mereka.

Katanya, Anugerah Graduan Cemerlang YBR yang sudah diperkenalkan sejak 2015 itu adalah satu daripada inisiatif YBR bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada anak-anak pemegang saham Bank Rakyat yang lain untuk mencapai keputusan akademik dan kokurikulum terbaik.

“Anugerah ini juga sebahagian daripada inisiatif ditawarkan YBR untuk mendorong graduan ke arah kecemerlangan seiring dengan cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0),” katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin.

Shukry berkata, graduan masa kini tidak lagi seperti dulu kerana mereka bukan hanya menerima ilmu semata-mata sebaliknya penghasil kepada ilmu secara bersama.

Beliau berkata, graduan juga perlu sentiasa beringat dan tidak hanya menganggap memperoleh keputusan cemerlang sebagai tiket mudah mendapatkan jawatan tinggi dengan serta-merta.

“Oleh itu, graduan perlu mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan bukan saja dengan pencapaian akademik malah turut menguasai kemahiran insaniah,” katanya.

Berita Harian X