Ahad, 30 September 2018 | 1:57pm
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

220,076 calon duduki UPKK mulai esok

KUALA LUMPUR: Seramai 220,076 orang calon akan menduduki Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bermula esok sehingga Khamis ini.

Jumlah itu membabitkan 5,904 buah pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, ujian ini dilaksanakan pada kanak-kanak Islam yang berada pada tahun 5 sekolah KAFA.

“Ujian ini bertujuan untuk mengukur dan menilai tahap penguasaan kanak-kanak berkenaan dalam menghayati Al-Quran dan Fardu Ain.

“UPKK diperkenalkan sejak tahun 1994 dan selama tempoh itu, pengurusan UPKK dilaksanakan secara manual dengan penambahbaikan dari masa ke semasa,” katanya.

Mohamad Nordin berkata, selepas 24 tahun pelaksanaannya, pada tahun 2016 Jakim memperkenalkan pengurusan UPKK secara dalam talian sepenuhnya menggunakan platform Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) Version 2.0.

“Pengurusan peperiksaan UPKK mengguna pakai Standard of Procedure iaitu Manual Prosedur Pengurusan UPKK 2014.

“Manual berkenaan menjelaskan syarat-syarat kelayakan calon UPKK adalah seperti warganegara Malaysia, belajar di kelas KAFA dan mengikuti Kurikulum KAFA sekurang-kurangnya tiga tahun, murid tahun 5 dalam kelas KAFA dan berdaftar untuk menduduki sebagai calon UPKK.

“Manakala mekanisma penyelarasan pengurusan UPKK di antara Jakim dan Agensi Bertanggungjawab berdasarkan Jadual Pengurusan Pelaksanaan UPKK 2018 yang menetapkan tempoh dan tindakan setiap agensi yang perlu dipatuhi bersama.

“Sehubungan itu, saya mengucapkan ‘Selamat Menduduki UPKK 2018’ kepada calon-calon UPKK di seluruh Malaysia,” katanya.

Berita Harian X