Selasa, 23 Oktober 2018 | 11:12am
NAIB Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani. - Foto NSTP/Ihsan UUM

UUM lakar sejarah terima akreditasi EFMD EPAS

SINTOK: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM) mengharumkan nama negara apabila dua program yang ditawarkan UUM dianugerahkan akreditasi EFMD Programme Accreditation System (EPAS) daripada European Foundation for Management Development (EFMD).

Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata pencapaian itu menjadikan program Perakaunan yang ditawarkan oleh TISSA-UUM sebagai program pertama dan satu-satunya yang menerima akreditasi EPAS di Malaysia.

“Akreditasi ini dianugerahkan kepada dua program iaitu Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian.

"Penilaian yang dilaksanakan oleh EPAS meluluskan kedua-dua program berkenaan untuk akreditasi selama tiga tahun, sekali gus mengesahkan keupayaan TISSA-UUM untuk mereka bentuk dan menghasilkan modal insan masa depan yang sangat berdaya saing pada peringkat antarabangsa," katanya.

Proses penilaian EPAS membabitkan faktor penilaian yang ketat termasuk proses reka bentuk kursus, objektif dan hasil pembelajaran, kandungan kurikulum, keseimbangan antara fokus antarabangsa, teori akademik dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Selain itu, Ahmad Bashawir berkata, penilaian itu turut membabitkan dana yang diperuntukkan oleh institusi untuk menyokong program, kualiti fakulti dan penglibatan industri serta alumni.

“Kepercayaan yang tinggi daripada EFMD dan akreditasi The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) yang diperoleh sebelumnya membuktikan kualiti pendidikan yang dicapai oleh TISSA-UUM, iaitu pendidikan yang diperkaya oleh pelajar, fakulti, kakitangan dan alumni,” katanya.

INFO:

EFMD

- sebuah pertubuhan antarabangsa tidak berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Brussels, Belgium

Berita Harian X