Rabu, 24 Oktober 2018 | 2:11pm
MOHAMAD ISA (tengah) bergambar bersama peserta Seminar Pedagogi Alternatif Kesusasteraan Melayu (SPAKEM) 2018 Peringkat Kebangsaan di Bangi, semalam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MOHAMAD ISA (tengah) bergambar bersama peserta Seminar Pedagogi Alternatif Kesusasteraan Melayu (SPAKEM) 2018 Peringkat Kebangsaan di Bangi, semalam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Perlu kreatif ajar Kesusasteraan Melayu

BANGI: Guru perlu kreatif dan inovatif dalam menyampaikan ilmu Kesusasteraan Melayu, terutama untuk mendepani pelajar yang terdiri daripada Generasi Z masa ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata seiring Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21), warga pendidik wajar mengaplikasi pelbagai teknik alternatif bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran berkenaan.

Beliau berkata, guru pada era ini perlu berhadapan dengan generasi muda yang memerlukan mereka dicabar dengan sesuatu yang baharu serta luar biasa.

“Oleh itu, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu perlu dipersembahkan dengan gaya baharu dan menekankan kepada kaedah serta pendekatan yang tidak membosankan pelajar.

“Mata pelajaran ini bukan sahaja mempunyai kehebatan sama dengan subjek lain malahan fungsinya mampu merealisasikan agenda negara ke arah mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pedagogi Alternatif Kesusasteraan Melayu (SPAKEM) 2018 Peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Dr Mohamad Isa Azis.

MOHAMAD ISA Azis. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MOHAMAD ISA Azis. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Yang turut hadir ialah Pengurus Program Inisiatif Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan (KPM), Lokman Abd Wahid dan Ketua Alur Kerja Modul Alternatif Kesusasteraan Melayu Inisiatif Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu KPM, Dr Mohd Haidi Mohd Kasran.

Seminar dua hari bertemakan ‘Sastera medium pesona pemartabatan bahasa Melayu’ itu adalah platform perkongsian ilmu dan maklumat baharu mengenai Kesusateraan Melayu sekali gus boleh digunakan warga pendidik khususnya bagi meningkatkan kualiti pengajaran serta pembelajaran di sekolah.

Sementara itu, Ombudsman Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar berkata, pembentangan dikongsikan panel terbabit mampu mempelbagaikan lagi teknik pengajaran guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran menyeronokkan.

MOHAMAD ISA (dua dari kanan) bersama Lokman (kiri) dan Mohd Haidi (kanan) pada majlis perasmian Seminar Pedagogi Alternatif Kesusasteraan Melayu (SPAKEM) 2018 Peringkat Kebangsaan di Bangi, semalam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MOHAMAD ISA (dua dari kanan) bersama Lokman (kiri) dan Mohd Haidi (kanan) pada majlis perasmian Seminar Pedagogi Alternatif Kesusasteraan Melayu (SPAKEM) 2018 Peringkat Kebangsaan di Bangi, semalam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Saya lihat kertas kerja dibentangkan adalah ke arah menjadikan mata pelajaran Sastera ini lebih menarik, malah, karya sastera juga boleh dipersembahkan dengan lebih ringkas dan mudah seperti melalui ilustrasi.

“Melalui pendekatan ini, peserta akan berasa lebih yakin untuk mengajar kerana mata pelajaran ini amat menarik dan menepis pandangan segelintir pihak bahawa Sastera ini tidak penting,” katanya.

INFO

Seminar Pedagogi Alternatif Kesusasteraan Melayu (SPAKEM) 2018

* Program julung kali anjuran IPG Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur dengan kerjasama Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), KPM

* Sebanyak 58 kertas kerja dibentangkan membabitkan Kesusasteraan Melayu Alternatif dan Karya Agung

Berita Harian X