Khamis, 25 Oktober 2018 | 6:13pm
GAMBAR fail, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kementerian Pendidikan latih 1,200 guru dalam Pembelajaran Sains Secara Inkuiri

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan giat melatih 1,200 guru khusus dalam Pembelajaran Sains Secara Inkuiri (IBSE) sejak enam bulan lalu.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, kementerian, Dr Ahmad Rafee Che Kassim, berkata pihaknya berharap semua dapat menjadi jurulatih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada guru di seluruh negara tahun depan.

Katanya, langkah itu sebahagian daripada inisiatif bagi meningkatkan minat kalangan pelajar terhadap STEM yang masih rendah.

“Dalam melatih guru terbabit, kita mendapatkan khidmat perunding luar dan apabila tamat latihan mereka akan menjadi jurulatih utama kepada guru lain di sekolah seluruh negara.

“Kita baru bermula pertengahan tahun ini dan berharap dengan usaha ini dan pendekatan baharu dalam pengajaran sains iaitu mengaitkan pelajaran dalam kelas dengan pengalaman sebenar di luar mampu menarik minat pelajar. Kita yakin akan ada perkembangan positif tahun depan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pertandingan Akhir dan Penyampaian Hadiah ‘Pertandingan Petunjukan Sains Petrosains 2018’ Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Fedora Zulkifli; Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff dan Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM, Rozainum Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan sasaran 60 peratus pelajar bidang STEM yang gagal dicapai sejak 51 tahun lalu.

Menurut Ahmad Rafee, perkembangan itu membimbangkan pihaknya apatah lagi, negara kini memasuki era Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

“Statistik menunjukkan pembabitan pelajar secara keseluruhan dalam STEM masih rendah, sekitar 47 hingga 48 peratus. Jika diperincikan, dalam bidang sains tulen hanya 27 peratus saja.

“Sebab itu, mulai tahun lalu Kabinet meluluskan penubuhan Pusat STEM yang beroperasi di Putrajaya bersama agensi berkaitan termasuk Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Pusat ini beroperasi sementara di bahagian saya dalam menyelaras aktiviti STEM bersama pegawai saya dan Akademi Sains Malaysia. Selama ini program STEM dianjurkan pelbagai pihak di seluruh negara dan tidak teratur, jadi kini ia diselaraskan Pusat STEM,” katanya.

Ahmad Rafee berkata, berkata pihaknya tidak menetapkan tempoh bagi mencapai sasaran 60 peratus pelajar dalam STEM, sebaliknya giat melakukan usaha dalam mengubah minda pelajar bahawa bidang itu adalah susah.

Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Sarawak yang menjuarai Pertandingan Akhir Persembahan Sains Petrosains peringkat kebangsaan 2018 buat kali ketiga, di sini, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan SMK Tun Abdul Razak yang diwakili Pink Anak Rakim dan Carlos Tinos Anak Kirip masing-masing 19 tahun, membolot hadiah utama lawatan sambil belajar untuk empat orang ke Muzium Sains Teknologi China di Beijing, China, wang tunai RM10,000, piala, sijil dan barangan Petrosains.

Lebih istimewa, Pink turut menerima Anugerah Khas juri sebagai penyampai terbaik.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi SMK Tamparuli, Sabah dan SMK Pudu (P), Kuala Lumpur dan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta piala, sijil dan barangan Petrosains.

Berita Harian X