Ahad, 28 Oktober 2018 | 7:35pm
AZMAN (tengah) bersama Alfian (dua dari kanan) dan Muzli (kanan) pada majlis penghargaan Sepetang Bersama Guru 2018 di Pulai Spring, Johor Bahru. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

BH hargai jasa 250 guru

JOHOR BAHRU: Seramai 250 guru membabitkan 171 sekolah menengah dan rendah di negeri ini diraikan dalam satu majlis penghargaan Sepetang Bersama Guru 2018 di Pulai Spring, di sini.

Majlis penghargaan kali ketiga selepas Kedah dan Melaka itu, turut memberi penekanan penggunaan akhbar digital sejajar perubahan semasa.

Majlis diadakan bagi menghargai sekolah yang melanggan akhbar BH menerusi sisipan pendidikan Skor, Minda dan Didik.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan, berkata sebanyak 263 sekolah menengah dan rendah pelbagai aliran melanggan BH sebagai bahan bantuan mengajar (BBM) dalam kelas mengikut subjek tertentu.

"Inisiatif ini selaras hasrat anjakan kesembilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

"Kami bagi pihak JPN berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan malah mampu mencetuskan idea bernas dan berinovasi.

"Johor mempunyai 1,840 sekolah menengah dan rendah pelbagai aliran, hampir 500,000 pelajar dan 53,000 guru. Saya yakin pasaran untuk BBM masih luas," katanya ketika berucap merasmikan majlis itu, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (NSTP), Alfian Abu Talib, Pengarang Eksekutif The New Straits Times, Muzli Mohd Zin dan Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi.

Azman berkata, sebagai pembaca setia BH beliau bukan sahaja membeli akhbar keluaran kumpulan NSTP, malah mengikuti perkembangan semasa dunia percetakan.

Katanya, kini bahan bacaan lebih mudah apabila boleh diperolehi di hujung jari dan menariknya, semua kandungan boleh diakses sama seperti bahan disiarkan di akhbar.

"Semuanya lebih mudah dan kami menggalakkan pengurusan sekolah melanggan sisipan pendidikan yang disediakan kerana ia boleh digunakan sebagai bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)," katanya.

Menurutnya, usaha BH perlu dicontohi pihak korporat lain bagi berganding bahu memperkasakan pendidikan negara untuk melahirkan generasi berakhlak mulia, sedia menghadapi pelbagai cabaran dan menjadi pemimpin berkaliber dalam sektor awam dan syarikat swasta.

Program santai selama tiga jam itu turut memberi peluang kepada guru menyuarakan pandangan dan pendapat kepada pengurusan Unit Pendidikan BH serta cabutan bertuah.

Program sama akan diteruskan ke Terengganu, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Berita Harian X