Sabtu, 10 November 2018 | 6:36pm
TIMBALAN Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ismail Othman dan Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (NSTP), Alfian Abu Talib bergambar bersama orang ramai pada majlis penghargaan Sepetang Bersama Guru 2018 di Sungai Petani, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

BH hargai jasa 393 guru

SUNGAI PETANI: Seramai 393 guru sekolah menengah dan rendah di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang diraikan dalam satu majlis penghargaan Sepetang Bersama Guru 2018 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Majlis penghargaan kali keempat selepas Kelantan, Melaka dan Johor itu, turut memberi penekanan penggunaan akhbar digital sejajar perubahan semasa.

Majlis diadakan bagi menghargai sekolah yang melanggan akhbar BH menerusi sisipan pendidikan Skor, Minda dan Didik.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ismail Othman, berkata jalinan kerjasama sekolah di negeri ini dengan akhbar BH sudah menjangkau 14 tahun dan ternyata ia membantu guru dalam pembelajaran.

“Penggunaan akhbar sebagai bahan bantu mengajar (BBM) bukan sahaja membantu guru dalam pelajaran, malah sesuai digunakan sebagai kaedah dalam penskoran yang ditetapkan oleh kementerian dalam Instrumen Pemantauan Guru.

“Penggunaan akhbar sama ada dalam bentuk cetakan atau digital juga membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar.

“Secara tidak langsung amalan ini dapat membuka minda pelajar dan sekali gus menjadikan mereka insan yang berpengetahuan dan peka kepada isu semasa,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (NSTP), Alfian Abu Talib, Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi dan Pengurus Besar, Jabatan Jualan dan Pengedaran Akhbar NSTP, Alfian Alias.

Ismail berkata, usaha NSTP dalam menghargai guru amat bermakna kepada warga pendidik kerana inisiatif membantu memperkasa pendidikan negara sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

“Saya berharap inisiatif ini dapat dijadikan contoh kepada pihak korporat lain bagi berganding bahu dalam memperkasakan pendidikan negara.

“Dengan harapan kita dapat melahirkan generasi berakhlak mulia, mampu membuat keputusan dan bersedia menghadapi cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Program santai selama tiga jam itu turut diadakan forum bertajuk Akhbar Membantu Melahirkan Generasi Berilmu serta cabutan bertuah.

Berita Harian X