Ahad, 11 November 2018 | 3:08pm
BEKAS juruterbang helikopter Nuri, Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman bersama isteri, Siti Rofini Mohd Yusuf ketika hadir pada Majlis Konvokesyen Ke-31 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Bekas juruterbang Nuri terima PhD

SINTOK: Usia emas tidak menghalang bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Ke-31 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Bekas juruterbang helikopter Nuri, Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman, 69, berkata beliau mengambil masa empat tahun menyiapkan tesis bertajuk ‘Peranan Nuri Dalam Era Insurgensi di Semenanjung Malaysia 1968-1969’.

“Walaupun berusia, namun atas rasa tanggungjawab untuk memartabatkan peranan helikopter Nuri dalam sejarah negara, maka saya tidak mahu terus berdiam diri.

“Ini kerana masyarakat kita sering tersalah anggap mengenai Nuri, terutama mengenai nilai keselamatan helikopter itu yang sering dikaitkan dengan kemalangan meragut nyawa kerana faktor usia,” katanya yang mula menyertai tentera pada 1969.

Ibrahim berkata, peranan Nuri sangat besar dalam mempertahankan kedaulatan negara, malah helikopter itu boleh dianggap sebagai aset pertahanan terbaik yang digunakan negara sejak 50 tahun lalu.

“Saya harap penulisan tesis ini akan menjadi rujukan orang ramai selepas ini dalam usaha menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan anak muda.

“Saya tidak mengalami masalah dalam menyiapkan tesis ini kerana ia sememangnya bidang saya, cuma terpaksa berdepan kekangan menggunakan perisian komputer terkini sahaja,” katanya.

Terdahulu, Canselor UUM, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan memasyhurkan anakandanya, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Pada majlis konvokesyen bermula hari ini, seramai 6,156 graduan UUM dijadual menerima ijazah masing-masing sehingga Khamis ini.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X