Selasa, 13 November 2018 | 9:19am
SUASANA sekitar hari pertama sempena Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
CALON SPM mengaminkan bacaan doa sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

16,946 calon SPM, 1,414 calon STPM di NS

SEREMBAN: Seramai 16,946 calon mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini, manakala 1,414 calon menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hari ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Pkharudddin Ghazali, berkata peperiksaan SPM berlangsung di 148 pusat peperiksaan membabitkan seramai 1,696 petugas peperiksaan.

Katanya, daripada keseluruhan calon SPM, seramai 14,819 adalah pelajar sekolah kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA (tujuh), sekolah agama negeri (satu) sekolah swasta (sembilan) dan calon persendirian (926).

CALON SPM bersalaman bersama guru sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

“Seramai 10 calon terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban; Hospital Port Dickson; Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Hospital Tampin dan Pusat Perubatan Nilai kerana masalah kesihatan dan kemalangan,” katanya.

Terdahulu, beberapa wakil Jabatan Pendidikan Negeri meninjau hari pertama peperiksaan SPM yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V di sini.

Sementara itu Pkharuddin berkata, peperiksaan STPM berlangsung di 22 pusat peperiksaan membabitkan seramai 231 petugas peperiksaan.

Katanya, daripada jumlah 1,414 calon, terdapat seramai 10 calon persendirian.

Berita Harian X