Selasa, 13 November 2018 | 9:58am
CLEIN Jeans Raymond. - NSTP/Recqueal Raimi

11 tahun jalan kaki 6km pembakar semangat hadapi SPM

TUARAN: “Sebelas tahun saya berjalan kaki sejauh enam kilometer (km) ke sekolah. Siapa yang mahu sia-siakan keperitan itu?

Demikian kata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Clein Jeans Raymond, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu di sini yang menjadikan pengalaman itu pembakar semangat menghadapi peperiksaan bermula hari ini.

Katanya, sejak belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kiulu, dia berjalan kaki sejauh enam km setiap hari dari rumahnya di Kampung Mantaranau dan kemudian SMK Tun Fuad Stephens Kiulu.

Clein anak sulung daripada lima beradik berkata, dia tidak risau berjalan dalam keadaan gelap seawal jam 5.30 pagi termasuk untuk mengambil SPM hari ini kerana ditemani beberapa pelajar sekampung termasuk murid sekolah rendah.

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu diberi taklimat sebeluma menduduki peperiksaan. - NSTP/Recqueal Raimi

“Sudah biasa berjalan kaki sejak sekolah rendah menyebabkan kami jarang berehat sepanjang perjalanan dan ada pelajar lain yang biasa mengikuti sukan lasak dan acara pecut atau maraton,” katanya ketika ditemui NSTP.

Clein yang bercita-cita menjadi petani moden atau guru pada masa depan berazam mencapai keputusan cemerlang kerana mahu mengubah taraf hidup keluarga, terutama membantu kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai petani.

Sementara itu, berbeza dengan dua kembar tidak seiras, Esther Liani Paulus dan Esther Lidia Paulus dari Kampung Gamut, Kiulu apabila menjadi tumpuan guru dan pelajar lain.

Esther Liani adalah anak keempat manakala Esther Lidia anak kelima daripada tujuh beradik itu berada di kelas peperiksaan sama memandangkan subjek elektif dipilih adalah sama iaitu Rekacipta dan Sains Rumah Tangga.

“Kami memiliki minat subjek elektif yang sama. Malah, kami juga bercita-cita sama iaitu menjadi anggota bomba atau chef.

“Disebabkan subjek yang sama, kami sering belajar bersama tidak kira di sekolah atau di rumah,” katanya.

Berita Harian X