Selasa, 13 November 2018 | 10:59am
ABDULLAH Mat

15 pusat peperiksaan gantian disediakan di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sudah menetapkan 15 pusat peperiksaan gantian di seluruh negeri sebagai persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Timbalan Pengarahnya, Abdullah Mat. berkata pihaknya sudah menetapkan 10 sekolah di daerah Kota Bharu, dua di Pasir Mas dan masing-masing sebuah di Tumpat, Jeli dan Gua Musang yang dijadikan pusat gantian.

Katanya, sebanyak 62 daripada 279 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berisiko terdedah kepada banjir.

“Dalam masa sama, kami turut menjalinkan kerjasama dengan agensi terbabit seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dalam mesyuarat Ops Payung yang diadakan pada 21 Oktober lalu.

“Kerjasama strategik ini dijalin bersama agensi penyelamat bagi memastikan calon tidak tercicir dan dapat menduduki peperiksaan berkenaan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam sidang media ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengetua SMK Ketereh, Mohd Zin Halim.

Abdullah berkata, pihaknya juga akan memastikan pelajar yang terkesan akibat banjir ditempatkan di asrama sekolah supaya mereka dapat menduduki peperiksaan dengan tenang.

“Alhamdulillah, pada hari pertama peperiksaan diadakan di negeri ini ia berjalan dengan lancar kerana keadaan cuaca baik selain tiada tanda banjir besar akan berlaku.

“Pada tahun ini, JPN mensasarkan 90 peratus calon SPM layak mendapat sijil berbanding tahun lalu hanya memperoleh 87 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, seramai 29,818 calon SPM menduduki peperiksaan itu di 279 pusat peperiksaan di seluruh negeri pada tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, calon Sekolah Kerajaan (SK) seramai 21,838; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 860; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) 456; Yayasan Islam Kelantan (YIK) 4,929; 149 calon swasta; dan 1,586 adalah calon persendirian.

“Seramai 2,251 pengawas peperiksaan ditugaskan untuk mengendalikan peperiksaan itu agar ianya berjalan lancar.

“Manakala seramai 14,793 calon yang menduduki STPM di 59 pusat peperiksaan di seluruh negeri membabitkan 1,359 petugas,” katanya.

Berita Harian X