Selasa, 13 November 2018 | 2:52pm
MUHAMMAD Syazwan Saleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari
MUHAMMAD Syazwan Saleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Jawab soalan SPM lepas sedar pengsan

IPOH: “Saya tahu sedang sakit tapi tak mahu tangguhkan peperiksaan ini, mahu teruskan selagi boleh,” kata Muhammad Syazwan Saleh yang terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Pelajar berusia 17 tahun itu sepatutnya menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini, namun tidak dapat berbuat demikian selepas pengsan di rumahnya di Klebang Restu, dekat sini, jam 6.30 pagi.

Walaupun lemah seluruh badan akibat mengalami bengkak dan jangkitan kuman, dia tidak patah semangat dan tetap menggagahkan diri untuk menjawab soalan peperiksaan bersama seorang lagi calon lain di bilik khas di HRPB selepas tersedar dari pengsan di hospital berkenaan.

Anak ketiga daripada enam adik-beradik itu berkata, sejak sebulan lalu badannya semakin lemah sehingga mengakibatkan dia tidak dapat hadir ke sekolah dalam tempoh berkenaan.

“Saya memang tidak larat, tidak dapat membuat ulangkaji pelajaran terlalu banyak dan hanya membuat persediaan sekadar mana yang terdaya.

“Walaupun tahu sakit, saya tetap mahu teruskan peperiksaan hari ini kerana mahu mengejar cita-cita,” katanya yang ditemui sebaik selesai menjawab kertas pertama peperiksaan itu di HRPB.

Muhammad Syazwan berkata, sepanjang tempoh tidak ke sekolah rakannya sering datang ke rumah untuk berkongsi nota yang diberi oleh guru di dalam kelas.

“Selain keluarga dan rakan-rakan yang memberi semangat dan sokongan, guru juga ada menghubungi melalui aplikasi WhatsApp bertanyakan keadaan saya.

“Insya-Allah dengan sokongan semua, saya akan dapat teruskan peperiksaan ini sehingga selesai.

“Saya paling meminati subjek Bahasa Melayu dan bercita-cita menjadi seorang jurutera,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon SPM, Way Shuet Yee, 18, terpaksa menduduki peperiksaan itu di hospital sama berikutan baru sahaja membuat pembedahan di perut.

Shuet Yee yang berada dalam keadaan lemah di atas kerusi roda kelihatan disorong oleh bapanya selepas selesai menjawab soalan peperiksaan.

Mereka antara empat calon SPM yang menduduki peperiksaan itu di hospital di Perak.

Dua lagi calon menduduki peperiksaan itu di Hospital Taiping.

Berita Harian X