Sabtu, 24 November 2018 | 11:11pm
FARIDAH (dua dari kanan) melawat kaunter jualan buku terbitan NSTP bersama Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (dua dari kiri), Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib (kiri) dan Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi ketika melawat kaunter pameran pada Majlis Penghargaan ‘Sepetang bersama sama Guru 2018’ di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Kementerian Pendidikan hargai inisiatif NSTP

KUALA LUMPUR: Penglibatan semua pihak dalam pelbagai aktiviti di sekolah mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas pertama, bersesuaian dengan konsep sekolah milik masyarakat.

Timbalan Pengarah (Murid) Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan (KPM), Faridah Yang Razali, berkata pihak kementerian sentiasa terbuka untuk berkolaboratif dengan pelbagai yang berminat untuk menganjurkan pelbagai program bersesuaian.

“Inisiatif NSTP menghasilkan pelbagai produk berkaitan pendidikan selari dengan anjakan kesembilan dalam Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) 2013-2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

“Saya berharap lebih banyak sektor swasta tampil untuk menaja pelbagai program bagi memperkasakan pendidikan negara untuk melahirkan generasi berakhlak mulia, mampu membuat keputusan dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan Sepetang Bersama-sama Guru 2018, di sini, hari ini.


FARIDAH (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi bergambar bersama guru guru yang hadir pada Majlis Penghargaan ‘Sepetang bersama sama Guru 2018’ di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib; Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi; Pengurus Besar, Jabatan Jualan, Pengedaran Akhbar NSTP, Alfian Alias dan Pengurus Besar Pengiklan NSTP, Roche Chew.

Majlis penghargaan untuk guru-guru yang melanggan sisipan pendidikan BH dan NST itu menutup tirai siri jelajah NSTP tahun ini selepas Kelantan, Melaka, Johor dan Kedah.

Seramai 500 guru membabitkan 280 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor hadir pada majlis itu yang turut ditaja oleh TAMU Hotel and Suites Kuala Lumpur dan AVANA Fitness.

Selain itu, Faridah berkata, guru perlu menguasai pelbagai kemahiran bagi dimanfaatkan dalam pengajaran dan pemudahcaraan seiring dengan perkembangan pesat teknologi hari ini.

“Dalam penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal di Parlimen, baru-baru ini, Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) banyak menyentuh mengenai warga pendidik antaranya untuk memartabatkan profesion keguruan melalui pelbagai insiatif yang bakal dirancang oleh kementerian.

“Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Beban Guru (JKMBG) diharap dapat membantu guru untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki sebagai pendidik kerana kemenjadian murid bukan hanya dilihat kepada kejayaan dalam akademik, sebaliknya juga dalam pelbagai aspek lain,” katanya.

Majlis diadakan bagi menghargai sekolah yang melanggan akhbar BH menerusi sisipan pendidikan Skor, Minda dan Didik termasuk sisipan akhbar New Straits Times (NST) iaitu School Times.

Program santai selama tiga jam itu turut menampilkan forum bertajuk Akhbar Membantu Melahirkan Generasi Berilmu serta cabutan bertuah.

Berita Harian X