Khamis, 29 November 2018 | 4:03pm
ADZMAN Talib. - NSTP/Sairien Nafis

Tahap obesiti kanak-kanak 12 tahun meningkat

KUALA LUMPUR: Jumlah kanak-kanak berusia 12 tahun yang obes meningkat kepada 67,400 atau 15.5 peratus berbanding hanya 58,294 (13.8 peratus) tahun lalu, sekali gus menunjukkan semakin ramai kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan.

Indeks Jisim Badan (BMI) dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2018 yang dikeluarkan sebentar tadi menunjukkan murid Tahun Enam berisiko untuk mempunyai berat badan berlebihan juga meningkat iaitu 75,171 (17.3 peratus), berbanding 56,584 (13.4 peratus) pada tahun 2017.

Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP), Adzman Talib, berkata peningkatan kedua-dua kategori itu perlu diberi perhatian oleh setiap pihak kerana obesiti boleh memudaratkan khususnya menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan pada masa akan datang.

“Keputusan PPSR perlu dilihat bukan saja kepada keputusan akademik iaitu menerusi komponen Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sebaliknya PPSR boleh dijadikan panduan bagi kita melihat pelbagai isu seperti kecenderungan murid untuk menjadi obes.

“Peningkatan data BMI murid khususnya yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes amat membimbangkan. Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak," katanya.

Data BMI adalah sebahagian daripada komponen Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan kokurikulum (PAJSK) yang menilai kecenderungan calon PPSR dalam kegiatan jasmani, sukan dan kokurikulum.

Selain BMI, tahap kecergasan fizikal calon PPSR turut dinilai menerusi ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) yang dilakukan pada Mac hingga Ogos tahun ini.

Data itu turut menunjukkan seramai 256,783 murid (59.2 peratus) dikategorikan sebagai mempunyai berat badan normal, manakala 32,142 (7.4 peratus) murid didapati susut berat badan dan 2,585 (0.6 peratus) tidak melaksanakan ujian BMI.

Berita Harian X