Khamis, 29 November 2018 | 4:06pm
ADZMAN Talib bersama Guru Besar SK Bangsar, Soharto Baharen bersama murid-murid sebelum pengumuman keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur. - NSTP/Sairien Nafis

Pencapaian calon PPSR 2018 tunjuk peningkatan ketara

KUALA LUMPUR: Pencapaian calon Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2018 menunjukkan peningkatan ketara dalam keempat-empat komponen, khususnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Antara yang menjadi tumpuan adalah jumlah calon yang memperoleh Gred E dalam semua kertas diduduki dalam UPSR berkurangan kepada 5,834 atau 1.37 peratus calon, berbanding 6,663 (1.55 peratus) pada tahun 2017.

Sementara jumlah calon yang memperoleh Gred A dalam semua kertas diduduki meningkat sedikit iaitu 8,993 atau 2.10 peratus pada 2018, berbanding 8,958 (2.08 peratus) tahun lalu.

Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan (KPM), Adzman Talib, berkata pengurangan jumlah calon yang memperoleh keputusan semua E itu menunjukkan semakin ramai murid yang mampu menguasai tahap minimum di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, KPM berharap supaya semua pihak khususnya ibu bapa memberi tumpuan yang lebih luas kepada kepada keempat-empat komponen PPSR iaitu UPSR; Pentaksiran Bilik Darjah (PBD); Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“PPSR bertujuan untuk mengetahui kemenjadian murid secara keseluruhan iaitu dari segi akademik, pembabitan murid dalam pelbagai kegiatan dan pembangunan sahsiah murid, sedangkan UPSR hanya satu daripada empat komponen yang ada dalam PPSR.

“Berdasarkan keputusan itu, antara elemen seperti PBD menunjukkan keberkesanan apabila pencapaian murid dalam UPSR meningkat dengan jumlah calon yang memperoleh keputusan semua Gred E berkurangan dan semua Gred A meningkat, sekali gus menunjukkan guru sudah memberikan penyampaian yang berkesan,” katanya ketika ditemui BH, di sini sebentar tadi.

PPSR yang membabitkan pelaporan bagi empat komponen mula diperkenalkan pada tahun 2017 bagi mengurangkan tumpuan keterlaluan kepada UPSR khususnya perbandingan antara sekolah dan murid.

Tahun ini seramai 440,743 calon mendaftar untuk menduduki UPSR pada 20 hingga 27 September lalu di 8,100 pusat peperiksaan, iaitu 430,031 adalah calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala 10,712 pula calon sekolah swasta.

Adzman berkata, pembabitan murid dalam kegiatan seperti sukan dan kokurikulum turut meningkat berdasarkan keputusan PAJSK tahun ini dengan seramai 42,983 atau 9.9 peratus calon menunjukkan kecergasan sangat tinggi, berbanding 40,957 calon (9.5 peratus) pada tahun lalu.

“KPM berharap supaya ibu bapa dan murid yang datang ke sekolah hari ini untuk mendapatkan tahap penguasaan atau kemajuan dalam semua komponen khususnya pembabitan murid dalam sukan dan kokurikulum.

“Selain itu itu, PPSi yang melihat kepada minat, kecenderungan, bakat dan potensi murid perlu diberi penekanan kerana pentaksiran ini memperlihatkan perwatakan sahsaiah dan keperibadian yang lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X