Khamis, 29 November 2018 | 6:10pm
FARISH Fitri Mokhtar dikendung ayahnya Mokhtar Talha selepas berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), hari ini. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

2 anak pesawah cemerlang UPSR

SUNGAI BESAR: Meskipun bergelar anak pesawah dan menetap di kawasan luar bandar, dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 6, di sini, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), yang diumumkan hari ini.

Farish Fitri Mokhtar, 12, dan Nur Alia Natasya Azmi, 12, kedua-dua mereka yang memperoleh 6A menjadikan kepayahan orang tua mereka mencari rezeki sebagai pembakar semangat dalam mencapai kejayaan.

Farish ketika ditemui NSTP berkata, alasan tidak dilahirkan dalam keluarga berada bukan penghalang untuk berhenti berusaha.

“Kesusahan dan ketabahan ayah mengerjakan sawah padi menjadikan saya bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Malah, dorongan dan kata-kata semangat daripada ayah dan mak sentiasa berlegar dalam fikiran dari awal sehingga hari ini,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Farish berkata, ibu bapanya, Mokhtar Talha, 52, dan Rohaini Mohd Sanif, 47, juga bersyukur harapan yang diimpikan selama ini tercapai.


NUR Alia Natasya Azmi (tengah) dicium kedua ibu bapa, Azmi Hormat (kiri) dan Arbaiyah Samlan (kanan) selepas berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), hari ini. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Katanya, dia bercita-cita menjadi penulis novel dan berazam meneruskan kesungguhan dalam peperiksaan seterusnya.

Sementara itu, ditanya bagaimana dia memperoleh gred A dalam subjek pemahaman dan penulisan bahasa Inggeris, Farish berkata, minat berkenaan timbul sejak di rumah lagi.

“Kebetulan, ayah mementingkan penggunaan bahasa Jawa ketika berada di rumah dan marah sekiranya saya dan adik beradik lain tidak berkomunikasi dalam bahasa itu.

“Perkara itu saya lakukan juga ketika mempelajari Bahasa Inggeris ketika di sekolah,” katanya.

Rakan sekolahnya, Nur Alia Natasha berkata, latar belakang keluarganya bukan penghalang meraih keputusan cemerlang dan ia menjadi pemangkin semangat untuk berjaya.

“Jangan disebabkan orang tua bekerja sebagai pesawah, kita hilang semangat untuk belajar.

“Seharusnya, kita perlu berusaha sebaik mungkin mencapai matlamat diingini,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Katanya, kedua-dua ibu bapanya, Arbaiyah Samlan, 51, dan Azmi Hormat, 57, memberi sokongan moral dan kata-kata semangat untuknya terus berjaya.

Berita Harian X