Isnin, 3 Disember 2018 | 6:16pm
PENGERUSI Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (Pnm), Dr Harun Mat Piah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Peraduan pantun semarak Dekad Bahasa Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) sedang menganjurkan Peraduan Balas dan Kias Pantun bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2018 yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM6,900.

Peraduan pantun secara digital itu terbuka kepada semua pelajar membabitkan tiga kategori umur iaitu antara 10 hingga 12 tahun; 13 hingga 15 tahun dan 16 hingga 17 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dr Harun Mat Piah, berkata usaha murni itu wajar dipuji kerana memperluaskan lagi fungsi dan keistimewaan pantun secara menyeluruh, terutama kepada generasi muda hari ini.

“Bagi saya kaedah (peraduan pantun) ini memang baik kerana apabila ada landasan seumpama ini kita dapat menarik lagi minat masyarakat, khususnya golongan muda untuk mendalami keunikan puisi tradisional ini.

“Sebagai masyarakat yang kaya dengan keindahan bahasa, kita seharusnya bersama-sama menyemarakkan lagi kaedah mempromosikan pantun ini, malah peranannya cukup meluas seperti digunakan pada sambutan tertentu seperti majlis perkahwinan, acara rasmi atau dalam komunikasi harian,” katanya.

Peraduan Balas dan Kias Pantun itu memerlukan pelajar menjawab pantun yang dijual dalam borang penyertaan yang boleh didapati di laman sesawang fullamark.com.my/pantun2018.

Harun berkata, keunikan pantun sebagai antara cabang puisi Melayu tradisional yang bernilai tinggi perlu dihayati oleh generasi muda hari ini bagi memastikan khazanah bangsa itu terus relevan.

Selain itu, katanya, seiring era teknologi kini menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memartabatkan puisi tradisional kerana nilai estetikanya dapat menjadi wadah terbaik dalam penghubungan masyarakat.

“Pantun yang baik mestilah mengandungi mesej bermanfaat dan disampaikan secara jenaka, kiasan dan sindiran, tetapi tidak menyakitkan hati kerana pantun bersifat pengajaran serta mengangkat nilai kemasyarakatan.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan martabat karya tradisional terus diangkat supaya pantun tidak hilang ditelan zaman,” katanya ketika ditemui di Menara PNM, di sini, baru-baru ini.

INFO

Peraduan Balas dan Kias Pantun

Anjuran: KPM dengan kerjasama NSTP bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2018

Kategori:

* Umur antara 10 hingga 12 tahun

* Umur antara 13 hingga 15 tahun

* Umur antara 16 hingga 17 tahun

Tempoh peraduan: 3 Disember 2018 hingga 2 Januari 2019

Berita Harian X