Selasa, 18 Disember 2018 | 4:07pm
NAIB Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd, Dr Sven Crone bertukar dokumen pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di dewan Canselori Hikmah Tun Abdul Razak UMP Pekan. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

MoU UMP-BASF Petronas Chemical babit tujuh bidang utama

PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) akademik dan kepakaran dengan BASF Petronas Chemical Sdn Bhd (BASF Petronas Chemical) di Dewan Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan, di sini, hari ini.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata kerjasama membabitkan tujuh bidang utama itu memberi peluang kepada pelajar dan kakitangan UMP mendapatkan kemahiran secara berterusan dengan syarikat antarabangsa itu.

Selain kerjasama dalam bidang akademik dan latihan, katanya, turut diberi tumpuan ialah perkongsian kepakaran penyelidikan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Program kepemimpinan dan pembangunan profesional, inisiatif kelestarian dan anugerah kecemerlangan turut menjadi agenda utama MoU bagi manfaat kedua-dua pihak,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Urusan BASF Petronas Chemical, Dr Sven Crone.

Daing Nasir berkata, kerjasama dengan BASF Petronas Chemical memberi peluang kepada UMP mendapatkan kepakaran dari segi teknikal, mengoptimumkan proses dan pembangunan sumber manusia.

Katanya, menerusi MoU berkenaan, ia turut memberi peluang kedua-dua pihak berkongsi kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta sumber lain yang diperlukan.

Crone pula berkata, kerjasama yang diadakan itu tepat pada masa bagi mengukuhkan jaringan sedia ada sebelum ini.

“Kolaborasi ini dapat merancakkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk manfaat kedua-dua pihak,” katanya.

Selain itu, BASF Petronas Chemical turut menyampaikan replika cek RM10,000 bagi hadiah kecemerlangan pelajar.

Berita Harian X